PELANCARAN 'CUTI-CUTI 1MALAYSIA NIGHT TRAVEL FAIR 2011'
YB Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit hari ini merasmikan pameran ‘Cuti-cuti 1Malaysia Night Travel Fair 2011' di i-City, Shah Alam, Selangor. Pameran waktu malam yang pertama ini akan berlangsung selama tiga hari bermula 28 Oktober hingga 30 Oktober 2011 dari 5 petang hingga 12 tengah malam.
Cuti-cuti 1Malaysia Night Travel Fair 2011 ini merupakan sebahagian daripada program Cuti-cuti 1Malaysia Travel Fair anjuran Tourism Malaysia yang diadakan pada setiap tahun untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik. Pameran waktu malam ini juga merupakan satu usaha untuk mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan sekaligus menggalakkan masyarakat untuk bercuti di dalam negara. Di samping itu, pameran ini turut memudahkan masyarakat membeli terus pakej-pakej pelancongan domestik dengan harga yang lebih kompetitif dan berpatutan selain membantu orang ramai untuk merancang percutian dengan lebih teratur.
Lebih 2500 pakej pelancongan domestik akan ditawarkan oleh 70 agensi pelancongan termasuklah pengusaha produk pelancongan, pengusaha inap desa dan hotel tempatan. Tourism Malaysia turut menjangkakan lebih 60,000 pengunjung membabitkan individu, pelajar, belia dan syarikat akan mengunjungi pameran selama tiga hari tersebut dan menyasarkan anggaran jumlah jualan sepanjang tiga hari itu melebihi RM500,000.
Pelbagai acara menarik telah dirancang sepanjang program ini berlangsung. Di antaranya seperti kuiz pelancongan dan konsert mini kumpulan Lefthanded, XPDC dan artis-artis di bawah naungan ASTRO. Pengunjung akan turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti tarian ghazal selain demonstrasi kraftangan oleh pengusaha-pengusaha inap desa. Kanak-kanak pula akan berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna dan bergembira dengan aktiviti seni lukisan muka dan seni pasir serta menonton persembahan artis-artis Idola Kecil.
Cuti-cuti 1Malaysia Night Travel Fair ini turut mengetengahkan program-program anjuran Kementerian Pelancongan seperti kempen 1Malaysia Bersih & Indah, Festival Pelancongan Seni Kontemporari 1Malaysia, Fabulous Food 1Malaysia dan banyak lagi.
Program ini dimeriahkan lagi dengan penyertaan rakan pintar seperti ASTRO, Central Market dan Animonsta (Boboi Boy).
Mengenai i-City:
i-City merupakan pusat tumpuan pelancongan malam hari yang paling popular di Malaysia dan terkenal dengan gelaran "City of Digital Lights" kerana limpahan cahaya warna-warni yang menyinari seluruh taman tema tersebut setiap malam. Antara tarikan lain yang terdapat di situ adalah Snowalk yang memperkenalkan taman tema konsep salji dan iklim sejuk kepada orang ramai.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Tourism Malaysia Selangor/Putrajaya, Nurushama binti Abdul Hanan, Timbalan Pengarah, di +603 551 09100 atau emel nurushama@tourism.gov.my.