Oct 21, 2013
PASARAN PELANCONGAN ASIA PASIFIK DIISYTIHARKAN ALAMI PERTUMBUHAN TERPANTAS DENGAN KETIBAAN PELANCONG SERAMAI 535 JUTA ORANG PADA 2030
MELAKA, 21 OKT 2013 – Rantau Asia Pasifik akan mengalami pertumbuhan terpantas daripada segi pelancongan ke dalam negeri (inbound) dan ke luar negara (outbound) dengan unjuran ketibaan pelancong dijangka meningkat dengan ketara iaitu seramai 330 juta orang dalam dua dekad dari 204 juta orang pada 2010 kepada 535 juta ketibaan pelancong pada 2030, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan pembukaannya semasa majlis pelancaran Persidangan Pelancongan Dunia 2013 di sini.
“Prospek pelancongan adalah amat cerah. Pandangan optimistik saya ini adalah berdasarkan arah aliran utama dalam pertumbuhan bilangan penduduk dunia iaitu dari 7.1 bilion pada 2012 kepada 8.3 bilion pada 2030 dengan pendapatan yang meningkat dan kualiti hidup yang lebih baik. Akibatnya, kesan kekayaan yang positif atau lebih besar akan berlaku dan menyebabkan peningkatan tinggi dalam permintaan pelancongan di seluruh dunia,” sambung beliau lagi.
Persidangan Pelancongan Dunia 2013 yang bertemakan “Global Tourism: Game Changers and Pace Setters” ini telah dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) dan Kerajaan Negeri Melaka dari 21 hingga 23 Oktober 2013. Malaysia menjadi tuan rumah persidangan ini buat kali ketiga.
Para peserta yang mewakili beberapa buah negara termasuklah para Menteri dan Timbalan Menteri Pelancongan, Ketua-ketua Organisasi-organisasi Pelancongan Kebangsaan, para pegawai kanan dan profesional dari syarikat-syarikat penerbangan, para penggiat industri pelancongan serta ahli-ahli akademik.
Teras utama persidangan ini ialah untuk membincangkan tentang perancangan pelancongan global, pembangunan dan pemasaran serta berkongsi strategi kejayaan pelbagai destinasi dan organisasi terkemuka dalam industri pelancongan dunia agar boleh dikuti dan diamalkan bagi menjana peningkatan pendapatan dan mempercepatkan pertumbuhan industri.
“Senario positif ini disokong oleh kajian yang dijalankan oleh UNWTO dalam “Tourism Towards 2030 – Global Overview”, yang mengunjurkan kadar purata pertumbuhan tahunan ketibaan pelancong antarabangsa sebanyak 3.3 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2030. Ia menggambarkan pengembangan dalam saiz pasaran iaitu seramai 900 juta pelancong antarabangsa,” sambung Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia turut menyatakan bahawa ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia telah berkembang dengan pesatnya pada setengah tahun pertama 2013 iaitu sebanyak lima peratus berbanding unjuran pertumbuhan antara tiga hingga empat peratus bagi tahun 2013, sekaligus menunjukkan bahawa industri pelancongan telah berjaya melepasi jangkaan dan akan terus kekal kukuh.
“Bagi Malaysia, usaha Kerajaan untuk mensasar dan melonjakkan pelancongan sebagai sektor utama melalui Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP) di bawah Pogram Transformasi Ekonomi (ETP) telah memainkan peranan penting sebagai agen perubahan yang utama,” jelas beliau lagi.
Dalam ucapan beliau, Tan Sri Muhyiddin turut mengambil peluang untuk berkongsi dengan para peserta mengenai agen-agen perubahan dalam industri pelancongan Malaysia termasuklah peranan penting dan komitmen yang ditunjukkan oleh Kerajaan terhadap pelancongan sebagai pemacu utama ekonomi negara, pembangunan produk-produk yang inovatif, cerita-cerita kejayaan Tahun Melawat Malaysia dan acara-acara mega.
Para profesional dan pengamal pelancongan terkemuka tempatan, serantau dan antarabangsa akan membincangkan perkara-perkara utama seperti:
• “Beyond Mass Tourism”: destinasi-destinasi boleh berkembang di pasaran-pasaran pelancongan “high yield” dengan mengambil kesempatan ke atas produk-produk minat khas yang mempunyai harga yang tepat dan disasarkan kepada pasaran yang betul.
• “Innovative Marketing”: pembangunan produk-produk pelancongan yang inovatif dan identiti jenama yang kukuh adalah amat penting untuk memastikan perkembangan yang dinamik dan berterusan.
• “Tourism Product Development”: meneroka potensi produk-produk pelancongan seperti inap desa, pelancongan domestik, pengembara belia dan Generasi Y serta sinergi antara pemuliharaan dan komersil yang berdaya maju.
Antara topik yang akan dibentang dan dibincangkan di persidangan ini termasuklah “Prospering with Higher Yield Market”, “Tourism Business Beyond Profits”, “Targeting for Less to Get More”, “Korea, Surfing on the Hallyu Wave”, “New Approaches in Technology”, “Scaling Up the Benefits of Homestay and Its Variants”, “Unlocking the Potential of Domestic Tourism – The Overlooked Sector”, “Attracting Youths and and Gen-Y Travellers” dan “Building Synergy between Conservation and Viability”.
Persidangan selama tiga hari ini akan diakhiri dengan sesi debat pelancongan bertajuk “Boon or Bane of the Tourism Sector” yang akan menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia X Sdn Bhd (Malaysia) Encik Azran Osman Rani, Penasihat kepada Menteri Pelancongan Afrika Selatan Encik Shaun Vorster dan Pengurus Besar Asia Cruise Association Encik Kelvin Leong berdebat mengenai kesan positif dan negatif pelancongan dan acara-acara mega, penerbangan tambang murah dan pelancongan pelayaran.
Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan Pelancongan Dunia 2013, sila hubungi koordinator persidangan:-
Sekretariat Persidangan Pelancongan Dunia 2013
Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia
Aras 13, No.2 Menara 1
Jalan P5/6 Presint 5
62200 Putrajaya
Tel : +603-8891 7402
Faks : +603-8891 7365
Emel : wtc2013@motac.gov..my
Ms. Christine Brew
Penolong Program Kanan
Program Serantau untuk Asia dan Pasifik
Organisasi Pelancongan Dunia
Calle Capitán Haya, 42
MADRID 28020, Spain
Tel: (34-91) 5678192
Faks: (34-91) 5713733
Emel: cbrew@untwo.org
TAMAT
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia
Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my