Jul 6, 2012

PAKEJ TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE-54 2012

PUTRAJAYA, 6 JULAI 2012: Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai agensi pelancongan domestik dan luar negara untuk menghasilkan dan menjual Pakej Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa sempena berlangsungnya acara tersebut buat kali ke-54 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dari hari ini hingga 13 Julai.

Usaha ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Wisma Putra dan Masjid Negara.

Pakej Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ini telah dijual oleh agensi-agensi pelancongan dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand serta telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pelancong dari negara-negara tersebut.

Bagi pasaran domestik, sebanyak lapan buah pakej telah dihasilkan melalui lima buah agensi pelancongan tempatan.

Tourism Malaysia akan menganjurkan satu seminar khas untuk para peserta pakej Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tersebut pada 7 dan 8 Julai di Auditorium Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur.

Pada 7 Julai, para peserta berpeluang mengikuti ceramah bertajuk “Keajaiban Al Quran” yang akan disampaikan oleh Cik Hjh Sharifah Khasif, Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009. Mereka akan turut dhiburkan dengan persembahan qasidah burdah dan zikir oleh Cik Hjh Sharifah Khasif sambil diiringi oleh pemain ghazal sebelum makan tengah hari dan sembahyang Zuhur di Masjid Negara.

Pada 8 Julai, para peserta berpeluang mengikuti forum yang akan disampaikan oleh Profesor Madya Sharifah Hayaati & Prof Dr Muhaya bertajuk “Al-Quran as Source of Entertainment” diikuti dengan sesi soal jawab dan makan tengah hari serta sembahyang Zuhur di Masjid Negara.

PAKEJ UNTUK PASARAN ASIA TENGGARA

Pakej-pakej luar negara yang ditawarkan adalah selama 3 hari 2 malam dan 4 hari 3 malam dan para pelancong boleh memilih sama ada untuk menyaksikan malam pembukaan ataupun malam penutup program Tilawah Al-Quran tersebut.

Setakat ini, seramai 27 orang pelancong Brunei telah membeli pakej tersebut manakala Indonesia (16 orang), Singapura (139 orang) dan Thailand (46 orang).

PAKEJ UNTUK PASARAN DOMESTIK

Pakej-pakej Tilawah Al-Quran yang dijual adalah terdiri daripada Sejarah Islam dan Tilawah Al-Quran (2H1M), Musabaqah Tilawah Al-Quran (3H2M), Lawatan Musabaqah Tilawah Al-Quran (1H), Pakej Istimewa Tilawah Al-Quran (3H2M) & (5H4M), Kembara Rohani dan Tilawah (3H2M) dan Kembara Penjernihan Jiwa dan Tilawah (4H3M).

Selain menghadiri Tilawah Al-Quran, pakej-pakej tersebut turut menawarkan lawatan ke masjid-masjid utama di sekitar Lembah Kelang dan Putrajaya, tempat-tempat bersejarah dan taman-taman rekreasi serta acara membeli-belah.

Agensi-agensi pelancongan yang menjayakan pakej ini ialah LMN Travel & Tours Sdn. Bhd. (Melaka), Komas Safar Travel & Tours Sdn. Bhd. (Perak), Permai Rantau Sdn. Bhd., Dinar Holidays Sdn. Bhd. dan Pesaka Travel & Tours Sdn. Bhd. (Kuala Lumpur & Selangor).

Seramai 80 peserta pertama yang mendaftar pada 7,8,11 dan 12 Julai berpeluang untuk mengikuti seminar khas bersama Cik Hajjah Sharifah Khasif, Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 di Auditorium Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur.

Pakej-pakej ini sah sehingga 13 Julai 2012 dan boleh didapati di laman web Tourism Malaysia - www.tourismmalaysia.gov.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ahmad Bakhtiar Abdul Majid, Pegawai Pelancongan Kanan, Bahagian Asia Tenggara, Tourism Malaysia di 03-8891 8263 atau emel ahmadbakhtiar@tourism.gov.my atau Hisham Abdul Hak, Pegawai Pelancongan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8412 atau emel hisham@tourism.gov.my.


___________________________________________________________________________________________________

Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

 

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use