Mar 24, 2020

MOTAC LAKAR PELAN TINDAKAN STRATEGIK UNTUK MEMPERKASA INDUSTRI PELANCONGAN YANG TERJEJAS BERIKUTAN IMPAK WABAK COVID 19

KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA

SIARAN MEDIA

  1. Industri pelancongan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.7 juta rakyat Malaysia dan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.3%. Apabila industri ini terjejas, ekonomi negara turut menerima kesan langsung yang juga menjejaskan pendapatan penggiat dalam industri pelancongan ini.
  2. COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia pada masa ini telah memberi impak negatif ke atas industri pelancongan negara. Maklumat dari industri menunjukkan bahawa anggaran semasa kerugian yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan bagi sektor seperti penginapan, pengangkutan, beli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara perniagaan bagi tempoh Januari hingga Mac 2020 adalah melebihi RM9 bilion.
  3. Bagi mendalami isu ini, satu sesi perjumpaan dan perbincangan bersama penggiat industri pelancongan telah diadakan pada 17 Mac 2020. Antara pihak yang hadir adalah wakil persatuan-persatuan dari industri penginapan,pelancongan, operator bas, peniaga, pemandu pelancong dan pemandu teksi. Perbincangan ini dikendalikan oleh Tourism Recovery Action Council (TRAC) yang ditubuhkan oleh MOTAC khusus bagi membincangkan langkah-langkah memastikan industri pelancongan tidak terjejas akibat penularan wabak COVID 19 ini. Hasil perbincangan ini, MOTAC telah melakar Pelan Tindakan Strategik atau Strategic Action Plan untuk membantu merancakkan kembali industri ini dan memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri ini terjamin.
  4. MOTAC akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan serta agensi-agensi berkaitan untuk memperhalusi pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh pihak pemain industri pelancongan terutamanya yang berkaitan dengan bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada industri ini.
  5. Bagi mengekalkan kedudukan sebagai destinasi utama pelancongan di rantau ini, MOTAC akan memperkenalkan kempen pelancongan baru bagi menggantikan kempen Visit Malaysia 2020 yang telah dibatalkan akibat penularan COVID 19. Kempen ini akan bersifat jangkamasa panjang yang akan memperkukuhkan jenama ‘Malaysia, Truly Asia’ dan mengetengahkan pengalaman-pengalaman unik yang boleh didapati di Malaysia. MOTAC yakin usaha ini akan mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara di samping memastikan industri ini inklusif.


DATO’ SRI HAJAH NANCY SHUKRI
MENTERI
PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA
24 Mac 2020

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use