Dec 17, 2012

MENTERI PELANCONGAN LANCAR "CUTI-CUTI 1MALAYSIA PUTRAJAYA BIKE RIDE PACKAGES featuring PAYA INDAH WETLANDS"

PUTRAJAYA, 16 DISEMBER 2012: Sebanyak 30 buah pakej pelancongan berbasikal - "Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands" telah dilancarkan oleh Menteri Pelancongan Malaysia, Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen di Dataran Putra, Presint 3 di sini hari ini.

Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen dalam ucapannya berkata pakej pelancongan berbasikal ini telah dibangunkan untuk mempromosikan Putrajaya sebagai sebuah pusat tarikan pelancongan yang juga mesra basikal.

“Putrajaya bukan hanya sekadar pusat pentadbiran negara tetapi juga mempunyai pelbagai tarikan pelancongan yang mampu mengujakan para pengunjungnya. Antaranya ialah keunikan senibina bangunan dan mercu tandanya, pelayaran di tasiknya dan kehijauan pelbagai taman dan lamannya,” jelas beliau.

Menurut beliau, Putrajaya mempunyai kemudahan trek berbasikal yang terbaik di negara ini sekaligus memudahkan para pembeli pakej pelancongan berbasikal ini untuk menikmati pelbagai tarikan pelancongan di sini dan kawasan sekitarnya.

“Aktiviti berbasikal ini juga selaras dengan matlamat Perbadanan Putrajaya untuk menghidupkan bandar Putrajaya sebagai ‘Bandar Dalam Taman’ yang sememangnya cantik dan tersusun selain menjadi lokasi transit para pelancong luar negara,” sambung  beliau lagi.

Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen turut berkata bahawa pakej-pakej pelancongan berbasikal yang ditawarkan melibatkan destinasi seperti Putrajaya, Paya Indah Wetlands, Negeri Sembilan,  Melaka dan Kuala Lumpur.

“Paya Indah Wetlands yang terletak di Dengkil berdekatan Putrajaya misalnya merupakan syurga kepada 229 spesies burung, 63 spesies mamalia, 20 spesies reptilia, 10 spesies amfibia dan juga 14 spesies ikan,” kata beliau sambil menyambung bahawa Paya Indah Wetlands adalah sebuah destinasi yang perlu dipromosikan secara agresif kerana kunjungan ke sana boleh meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan untuk memelihara dan memulihara habitat dan ekosistem tanah lembap.

Pakej pelancongan berbasikal - “CC1M Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands" ini telah dibangunkan oleh tujuh buah agensi terpilih yang terdiri daripada Pesaka Travel & Tours Sdn. Bhd., Inter-Orient Travel & Tours Sdn. Bhd., Permai Rantau Sdn. Bhd., 3T Travel & Tours Sdn. Bhd., MM Golden Travel Sdn. Bhd., IMG Travel & Tours Sdn. Bhd. and Dinar Holidays Sdn. Bhd.

Antara pakej-pakej yang ditawarkan termasuklah:-

• "Ride & Hunt @Putrajaya" - Pakej setengah hari dari RM99.00 seorang (minimum 30 pelajar) termasuk makan tengahari dan aktiviti berbasikal yang meliputi Masjid Besi, Istana Kehakiman, Perdana Putra, Masjid Putra, Kementerian Kewangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Cruise Tasik Putrajaya dan jambatan-jambatan di sekitar Putrajaya. Para peserta yang berjaya mengambil gambar mercu tanda Putrajaya semasa berbasikal akan menerima hadiah misteri.


• "Night Ride Putrajaya" - Pakej malam hari berharga RM150.00 seorang untuk dewasa (minumum 4 orang) dan RM100 seorang untuk kanak-kanak termasuk makan malam dan aktiviti berbasikal di sekitar Boulevard Putrajaya dan belayar di Tasik Putrajaya.


• "Nature at its Best@Paya Indah Wetlands" - Pakej setengah hari dari RM152.00 seorang (minimum 10 orang) termasuk makan tengahari dan aktiviti berbasikal sepanjang 7 kilometer serta aktiviti memberi makan badak air dan buaya di Paya Indah Wetland.

• "Journey to the South" - Pakej tiga hari dua malam dari RM988.00 seorang (minimum 4 orang) termasuk penginapan hotel di Melaka, pengangkutan dari Kuala Lumpur, sarapan pagi/makan tengahari /makan malam dan aktiviti berbasikal di Putrajaya, lawatan ke Kompleks Kraf Negeri Sembilan, lawatan sehari di Bandar Melaka, menyusuri Sungai Melaka dengan Melaka River Cruise dan menikmati pertunjukan haiwan di Wildlife Theatre.


• 3D/2N "Pamper @ Putrajaya" - Pakej tiga hari dua malam berharga RM1550.00 untuk dua orang termasuk penginapan hotel di Cyberview Resort & Spa, sarapan pagi/makan tengahari /makan malam dan aktiviti berbasikal di Putrajaya, mengunjungi Paya Indah Wetland dan rawatan percuma spa di Sembunyi Spa (wet area).

Bersempena dengan pelancaran pakej pelancongan berbasikal tersebut, pejabat Tourism Malaysia Jakarta telah menghantar lebih daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada para penunggang basikal tegar dari pasaran Indonesia.

Mereka telah berpeluang berbasikal di sekitar Putrajaya menerusi pembelian pakej berbasikal “Special Package 3H/2M” yang dibangunkan bersama antara pejabat Tourism Malaysia Jakarta dan agensi pelancongan Andiatar Tour pada harga USD405 (termasuk tiket penerbangan Garuda Indonesia, penginapan, transfer & lawatan termasuk makan & minum).

Bagi memeriahkan lagi majlis pelancaran “Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands”, pelbagai acara sampingan yang menarik turut diadakan seperti persembahan artis-artis tempatan dan cabutan bertuah. 

Terdapat juga pameran yang disertai oleh tujuh pengusaha pelancongan yang menawarkan pelbagai jualan pakej pelancongan berbasikal CC1M Bike Ride @ Putrajaya dan pelbagai pameran berkaitan basikal oleh  rakan penaja seperti UFL, Deuter, Sunto, Supercool, Sunplay Sunblocks, Power Bar,Deep Heating Rub,IDEAL Polarised Sunglasses, Key Power Sports, Camelback, RedBull Europe Drink dan lain-lain lagi.

Tourism Malaysia juga telah menjalinkan kerjasama pintar dengan syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan yang lain bagi menjayakan program ini. Logo senarai rakan penaja adalah seperti senarai di para bawah.


Acara Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Bike Ride @ Putrajaya 2012

Sempena majlis pelancaran pakej berbasikal - “Cuti-Cuti 1Malaysia Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands” ini, acara CC1M Bike Ride @ Putrajaya 2012 buat julung kalinya menggabungkan dua aktiviti berbasikal iaitu Kayuhan Santai bersama YB Menteri Pelancongan Malaysia dan CC1M MTB Jamboree@ Putrajaya.

Acara kayuhan ini adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia bersama Perbadanan Putrajaya dan juga XG Adventure & Events Sdn. Bhd.

Pada acara tersebut, Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen telah membuat dua acara pelepasan iaitu acara pelepasan kayuhan CC1M MTB Jamboree@Putrajaya sejauh 50 kilometer dan acara pelepasan Kayuhan Santai Bersama YB Menteri Pelancongan sejauh 25 kilometer.

Acara Kayuhan Santai bersama YB Menteri Pelancongan telah bermula dari Dataran Putra hingga ke Equestrian Park dan Taman Warisan Putrajaya sebelum berakhir di Dataran Putra semula.

Acara “Kayuhan Santai Bersama YB Menteri Pelancongan” dan “CC1M MTB Jamboree@Putrajaya” ini telah disertai lebih daripada 3,000 orang peserta termasuk para pelajar sekolah, belia-belia serta ahli-ahli persatuan/kelab berbasikal dari sekitar kawasan Lembah Klang dan lain-lain negeri di Malaysia.


Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Hazrina Azman, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8437 atau emel hazrina@tourism.gov.my.

___________________________________________________________________________________________________________

Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi & Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: +603 8891 8000; Faks: +603 8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia/

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use