Oct 8, 2014
Marilah ke Kuala Lumpur International Tattoo 2014
KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2014 – Kuala Lumpur International Tattoo 2014 akan menawan hati, jiwa dan minda seluruh penonton dalam 4 hari yang akan datang! Sudahkah anda bersedia?
Kuala Lumpur International Tattoo 2014 merupakan salah satu acara utama bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di samping menghitung detik-detik ketibaan Malaysia Year of Festivals 2015 tahun depan.
Beberapa pasukan pancaragam tentera terkenal di dunia akan turut mengambil bahagian untuk mempersembahkan alunan muzik yang menakjubkan, perbarisan serentak, kawad senyap, akrobatik dan banyak lagi, di tapak bersejarah Stadium Merdeka Kuala Lumpur ini. Bayangkan – 12 negara, 13 pancaragam serta hampir 3000 orang peserta dan sukarelawan, bersama-sama berkumpul di sini untuk menjadikan perarakan pancaragam angkatan bersenjata ini realiti! Jangan lepas peluang untuk menyaksikan acara ini!
Acara yang bermula dari 10 hingga 12 Oktober 2014 ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. Kerjasama antara kedua-dua kementerian membuktikan kejayaan dalam melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk mengumpulkan sumber-sumber negara dalam merancang dan menganjur pelbagai acara dan aktiviti. Pencapaian yang bersinergi, ekonomi berskala dan manfaat nilai tambah akan diperolehi melalui landasan kerjasama bersepadu.
Acara ini juga akan disiarkan secara langsung melalui saluran RTM TV2 namun tiada yang lebih menyeronokkan dan mendebarkan melainkan dapat menonton sendiri secara langsung dari padang Stadium Merdeka!
Sejak acara Kuala Lumpur International Tattoo 2007, belum pernah acara tatu sebegini besar. Intipati keberanian, semangat patriotisma dan simbiosis koreografi kreatif muncul untuk menjadikan suasana hujung minggu ini amat meriah. Kemunculan angkatan-angkatan bersenjata dari 11 buah negara dan Malaysia bersama-sama berkumpul di suasana medan persembahan memupuk ikatan persahabatan dan kerjasama melalui persembahan muzik dan teknikal.
Persona angkatan bersenjata yang segak bergaya dan berdisiplin ketat jarang dibayangkan boleh membuat persembahan kesenian, kreatif atau tarian. Maka, bersedialah untuk mengubah pandangan anda dan kunjungi Kuala Lumpur International Tattoo 2014. Nikmatilah persembahan yang menakjubkan dari angkatan-angkatan bersenjata dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Myanmar, New Zealand, Singapura, Afrika Selatan, Korea Selatan, Thailand, Turki, Emiriah Arab Bersatu dan United Kingdom.
Bila : Jumaat, 10 Oktober sehingga Ahad, 12 Oktober 2014
Di mana : Stadium Merdeka, Kuala Lumpur (kapasiti 40,000 orang)
Masa : 6 petang sehingga 11 malam setiap hari
Aturcara : Awal petang – Persembahan “bagpipe”, persembahan
Gimnastik Tentera Udara Diraja Malaysia, persembahan orkestra dan artis tempatan, aksi Army Red Warrior dan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia.
8.30 malam – perarakan tatu oleh pancaragam angkatan bersenjata dari 12 buah negara
Lain-lain : Bazar kraf di luar Stadium Merdeka
Pengangkutan : Oleh kerana kekurangan tempat letak kereta dan kemungkinan jalan ditutup, pengunjung digalakkan untuk menggunakan kenderaan awam. Perhentian bas, LRT (Stesen Hang Tuah) dan stesen monorel (Maharajalela) terletak berdekatan dengan kawasan acara, manakala teksi juga senang diperolehi.
Bayaran masuk : Percuma
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.vmy2014.com atau
https://www.facebook.com/VisitMsiaYear2014 hari ini
- Akhir -
Untuk akses imej ini dan versi teks bagi siaran media, sila muat turun di:
https://www.dropbox.com/home/Kuala%20Lumpur%20International%20Tattoo%202014%20Media%20Preview