JOM SINGGAH! WARNAI PELANCONGAN DALAM NEGARA
SEREMBAN, 9 Oktober 2014 – Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk menerbitkan buku panduan Jom Singgah! bagi merancakkan lagi industri pelancongan negara terutamanya pelancongan domestik. Pengerusi Tourism Malaysia YBhg Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen telah melancarkan buku panduan tersebut di Kawasan Rehat & Rawat Seremban (Arah Selatan), Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
“Saya percaya bahawa buku panduan ini akan dapat membantu para pelancong merancang percutian mereka dan menjadikan perjalanan mereka di lebuh raya yang panjang menjadi lebih menarik,” kata Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ng sambil menyambung bahawa sebanyak 86.1% pelancong domestik menggunakan kenderaan sendiri ketika melancong dalam negara.
Menurut beliau lagi, ‘Lebuh Raya Pilihan Untuk Cuti-Cuti 1 Malaysia Anda’ telah dipilih sebagai slogan rasmi buku panduan ini kerana ia menepati objektif usaha sama antara Tourism Malaysia dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) iaitu untuk mempromosi dan memartabatkan industri pelancongan Negara.
“Penerbitan Jom Singgah! juga adalah tepat pada masanya kerana Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014 dan sedang bersiap sedia untuk melaksanakan kempen Tahun Festival Malaysia 2015” jelas Tan Sri Dato’ Sri Dr. Ng.
Sementara itu, Pengarah Urusan PLUS Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid berkata, penaikan taraf Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) merupakan salah satu strategi PLUS untuk menjadikan perjalanan di lebuh raya lebih selamat dan lebih selesa.
“Dengan wujudnya R&R, pengguna boleh singgah sebentar untuk berehat sebelum menyambung semula pemanduan mereka dengan lebih segar dan lebih fokus. Penerbitan buku panduan Jom Singgah! ini juga memberi peluang kepada PLUS untuk mengetengahkan masakan serta hidangan istimewa yang terdapat di R&R terpilih di rangkaian lebuh raya PLUS,” sambung beliau.
Buku panduan Jom Singgah! ini menampilkan 16 kawasan Rehat & Rawat (R&R) PLUS yang telah dinaiktarafkan serta pelbagai destinasi pelancongan menarik yang boleh dilawati lengkap dengan jarak dari susur keluar plaza tol yang dilalui. Selain itu, buku ini turut mencadangkan masakan istimewa di R&R terpilih di sepanjang Lebuh raya Utara-Selatan.
Ia boleh didapati secara percuma di Pusat-pusat Informasi Pelancongan (TIC), Pejabat-pejabat Negeri Tourism Malaysia dan pameran-pameran pelancongan yang disertai oleh Tourism Malaysia.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai buku panduan Jom Singgah!, sila hubungi:-
Tourism Malaysia
Encik Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim,
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik
Emel: mohdamirul@tourism.gov.my
PLUS Malaysia Berhad
Iskandar Dzulkifli,
Timbalan Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat
Emel: iskandar@plus.uemnet.com
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada 2013 dan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan.
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my