Sep 12, 2012

MALAYSIA TOURISM HUNT 2012

KUALA LUMPUR, 12 SEPT 2012: Tourism Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Program Malaysia Tourism Hunt 2012 yang akan bermula dari Putrajaya dan berakhir di Pulau Redang, Terengganu pada 21 hingga 25 September 2012.

Program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Pelancongan Sedunia (World Tourism Day) yang disambut pada 27 September pada setiap tahun.

Seramai 130 orang peserta yang terdiri daripada 40 wakil media tempatan, 45 wakil media asing dari negara ASEAN dan pasaran antarabangsa yang terpilih serta 20 wakil penggiat industri pelancongan  akan menyertai program ini.

Acara yang akan berlangsung selama enam hari dan lima malam ini bakal menyaksikan para peserta melawati destinasi-destinasi pelancongan terkenal seperti Putrajaya, Fraser’s Hill, Raub, Kuala Gandah dan Gambang (Pahang); Kemaman, Kuala Terengganu dan Pulau Redang (Terengganu).

Para peserta akan menempuh perjalanan sejauh lebih kurang 900 km melalui lebuh raya, kawasan tanah tinggi dan jalan pesisir pantai bagi menikmati keindahan alam semulajadi, mengenali sejarah, budaya, dan penduduk setempat di destinasi-destinasi yang dilawati.

Cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi oleh para peserta merangkumi photo hunt, scavenger hunt, amazing race, fear factor dan banyak lagi.

Majlis pelepasan peserta Malaysia Tourism Hunt 2012 akan disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen, Menteri Pelancongan bersama-sama YBhg Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Aseh bin Haji Che Mat,  Presiden  Perbadanan  Putrajaya  di Putrajaya pada 21 September 2012.                       

YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen dalam sidang akhbar pra-pelancaran Malaysia Tourism Hunt 2012 yang diadakan di MaTIC, Jalan Ampang di sini hari ini berkata bahawa program unik ini merupakan pendekatan terbaik untuk memberi pendedahan kepada media tempatan dan asing mengenai keistimewaan dan keunikan yang terdapat di negara yang berbilang bangsa dan budaya ini.

“Saya percaya bahawa program ini dapat menggalakkan percutian secara pandu sendiri ke destinasi menarik di seluruh Malaysia kepada para pelancong tempatan dan asing.

Menurut beliau lagi, penganjuran Malaysia Tourism Hunt 2012 ini diharapkan mampu mendorong para pengusaha produk pelancongan tempatan dan antarabangsa untuk membangun dan memasarkan pakej-pakej pelancongan pandu sendiri atau ‘Fly & Drive’ di negara ini.

“Program ini juga akan merapatkan jalinan kerjasama di antara Tourism Malaysia dengan rakan-rakan media tempatan dan antarabangsa juga dengan  para penggiat industri pelancongan tempatan di samping meningkatkan lagi promosi pelancongan domestik melalui kempen Cuti-Cuti 1Malaysia,” sambung Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen.

Bagi memberikan publisiti yang meluas untuk program ini jalinan kerjasama telah dibuat dengan Harian Metro selaku media rasmi (berita) dan majalah Gaya Travel selaku majalah pelancongan rasmi program ini.

Tourism Malaysia juga telah menjalinkan perkongsian pintar dengan syarikat-syarikat swasta dan agensi kerajaan yang lain. Senarai rakan penaja adalah seperti lampiran berkepil.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Encik Abdul Mutalib Awang, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 03-8891 8421 atau emel abdulmutalib@tourism.gov.my.

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use