MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA (MRTM) KRISMAS 2017
Melaka, 27 Disember – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Krismas 2017 peringkat kebangsaan di sini, malam ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Majlis ini bertujuan untuk meningkatkan persefahaman masyarakat dan budaya antara etnik pelbagai fahaman agama yang ada di Malaysia.
Hadir sama memeriahkan majlis ini ialah YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Wakil Masyarakat Kristian; YB Datuk M.S. Mahadevan, Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia Dan NGO mewakili Ketua Menteri Melaka; YB Dato’ Seri Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mewakili Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan YB Dato’ Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia.
Turut hadir ialah YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia; YB Datuk Seri Haji Naim Bin Abu Bakar, Timbalan Menteri Pelancongan dan Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Datuk Wira Haji Ghazale Bin Muhamad, Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai & Pulau-Pulau Melaka serta barisan EXCO Negeri Melaka yang lain.
Terdahulu didalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia menyentuh tentang keunikan sambutan perayaan yang berbilang kaum di Malaysia dan menyeru agar semua rakyat bersyukur dengan nikmat kemakmuran yang diberikan Tuhan.
“Inilah yang dimaksudkan dengan keunikan dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan agama. Kita boleh meraikan semua perayaan termasuklah Krismas dalam keadaan aman, harmoni dan penuh muhibbah.”
Sambutan ini turut diisi dengan pelbagai acara-acara kebudayaan yang menarik daripada etnik minoriti setempat yang lain seperti Portugis, Peranakan - Baba Nyonya dan juga Chetti, dimana ianya berkonsepkan ‘kesatuan dalam kepelbagaian dalam menyambut Hari Natal’. Selain itu, ianya juga bertujuan mempromosikan Melaka sebagai salah sebuah destinasi pelancongan dan kebudayaan yang terkemuka, yang juga merupakan hasil daripada keharmonian antara kaum dan masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
“Tahniah juga kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana sudi menjadi tuan rumah untuk sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan 2017, yang saya percaya sekaligus memberi impak kepada industri pelancongan di negeri ini.”
“Ini adalah kali ke-3 saya menyampaikan ucapan mewakili masyarakat Kristian dan amat bersyukur kerana walaupun masyarakat Kristian hanya lebih kurang 10% berbanding masyarakat beragama lain, perayaan ini tetap disambut secara besar-besaran serta dirai tanpa ada sikap prejudis,” ucap YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Wakil Masyarakat Kristian.
Acara telah dimulakan seawal jam 10.30 pagi dengan pameran agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta; diikuti dengan persembahan pentas pada jam 2.30 petang dengan Persembahan Nyanyian & Instrumental, Tarian Kebudayaan, Pertandingan Krismas Idol serta Pertandingan Fesyen Kitar Semula.
Acara rasmi pula bermula pada jam 9 malam dengan ketibaan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang diiringi oleh tetamu jemputan yang lain. Acara disusuli dengan persembahan khas kisah Santa Claus, yang dilakonkan oleh Douglas Lim, bersama penghuni kutub utara yang sedang bersiap sedia untuk meraikan perayaan Krismas dan agihan hadiah kepada kanak-kanak.
Acara turut diwarnai dengan persembahan pentas yang lain seperti Koir Permata Seni, Kumpulan Drumline Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persembahan Gitar Akustik dan Tari oleh Komuniti Kg. Portugis serta penampilan istimewa daripada artis-artis terkenal tanah air seperti Dato’ David Arumugam, Dewi Liana, Hael Husaini, Dasha Logan dan sebagainya.
Usaha ini sejajar dengan visi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia iaitu memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia dan membina jati diri bangsa berteraskan seni, budaya dan warisan Negara. Acara signifikan ini yang menyajikan kita dengan pelbagai aktiviti unik. Acara ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia dan pelancong-pelancong asing seterusnya mencapai sasaran MTTP 2020 : 36 : 168, selain menjadikan sektor pelancongan sebagai salah sebuah penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.
“Negeri Melaka sentiasa komited dan sentiasa menambah baik pusat-pusat pelancongan di negeri ini untuk memastikan keselesaan dan daya tarikan kepada lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung. Ini kerana, tidak dinafikan bahawa sektor pelancongan turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan industri ini wajar untuk terus diperhebatkan dari masa ke semasa.”
“Kerajaan Melaka sendiri telah menyediakan produk pelancongan menarik kepada para pelancong. Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelancong ke Negeri Melaka sama ada dari dalam dan luar negara. Saya yakin destinasi-destinasi pelancongan yang menarik di Melaka pasti memberikan kepuasan kepada pelancong,” ucap YB Datuk M.S. Mahadevan, Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia Dan NGO mewakili Ketua Menteri Melaka.
Sambutan ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai pilihan utama dalam destinasi pelancongan dan menggalakkan pelancong untuk tinggal lebih lama bagi menikmati persembahan perayaan di seluruh negeri.
Acara berakhir pada jam 11 malam dengan kehadiran seramai 10,000 pengunjung ke MRTM Krismas 2017.
TAMAT
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2016, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 26.8 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM82.1 bilion.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Aliza Mansor, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8789
Emel: aliza@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Anis Rozalina Ramli (Ms), Editor Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my