MAJLIS PELANCARAN ZOOM! CAMERON HIGHLANDS
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tengku Mahkota Pahang telah menyempurnakan majlis pelancaran Zoom! Cameron Highlands pada 5 November 2008 di Taman Agroteknologi Mardi, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang.
Majlis pelancaran tersebut turut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Hj. Adnan Yaakob dan Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said.
Penganjuran majlis pada hari ini bertujuan untuk memberi fokus kepada Cameron Highlands sebagai sebuah destinasi pelancongan terpilih. Ia juga adalah sejajar dengan tujuan kerajaan untuk merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan seterusnya menanamkan budaya melancong di dalam negeri di kalangan rakyat Malaysia.
Taman Agroteknologi Mardi telah dipilih sebagai tapak pelancaran kerana keistimewaannya sebagai sebuah destinasi pelancongan tanah tinggi dan pusat penyelidikan pertanian yang unggul di negara ini.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pahang (Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser), seramai 525,749 orang pelancong telah mengunjungi Cameron Highlands dari bulan Januari hingga September 2008, menyaksikan peningkatan sebanyak 71.89% berbanding 305,855 orang dalam tempoh yang sama pada tahun 2007. Jumlah pelancong domestik yang mengunjungi Cameron Highlands dari bulan Januari hingga September 2008 pula ialah seramai 335,799 orang.
Kempen Zoom! Malaysia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri pelancongan negara khususnya pelancongan domestik. Di samping menggalakkan integrasi nasional, ianya juga bertujuan untuk menggalakkan aktiviti percutian dalam negara secara terancang di kalangan rakyat Malaysia. Penekanan terhadap pelancongan domestik ini juga bertujuan untuk mengurangkan aktiviti pelancongan rakyat Malaysia ke luar negara dan dalam masa yang sama, ianya dapat mengurangkan pengaliran wang keluar negara.
Manakala, destinasi lain di Negeri Pahang yang telah dipromosikan di bawah kempen Zoom! Malaysia ialah Kuala Gandah pada 10 Jun 2008.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Zoom! Malaysia, sila hubungi Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik dan Singapura, Tourism Malaysia, Tel: 03-2614 8701 / 03-26158188; Faks: 03-26935406 atau Emel: enq-domesticpromotion@tourism.gov.my.