Nov 21, 2013
MAJLIS PELANCARAN RISALAH CYCLING TRAIL MAP OF PAHANG SEMPENA SCIENCES CYCLING DAY 2013
KUANTAN, 17 NOVEMBER 2013: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan & Kebudayaan Negeri Pahang, YB Dato’ Sharkar B. Haji Shamsudin, melancarkan risalah khas Cycling Trail Map of Pahang terbitan Tourism Malaysia hari ini.
Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di Homestay Kampung Pantai Sepat, Kuantan, sempena Sciences Cycling Day 2013 anjuran bersama Tourism Malaysia dan Fakulti Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Pahang dengan sokongan Persatuan Berbasikal Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Kuantan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Nestle dan Homestay Kampung Pantai Sepat.
Risalah tersebut memuatkan empat (4) buah pakej pelancongan berbasikal yang dibangunkan oleh Tourism Malaysia, hasil kerjasama organisasi tersebut dengan agensi pelancongan di Pahang.
Di samping itu, risalah tersebut turut menampilkan laluan-laluan berbasikal di sekitar Pahang termasuk Kuantan, Raub, Pekan, Temerloh dan Bentong sebagai panduan kepada para pelancong yang ingin berbasikal sambil melancong di negeri tersebut.
“Risalah khas Cycling Trail Map of Pahang ini mengandungi beberapa pakej berbasikal yang dibangunkan untuk mempelbagaikan lagi produk-produk pelancongan domestik agar dapat menarik minat rakyat tempatan untuk bercuti dalam negara terutamanya di Pahang.
“Pakej berbasikal dan laluan-laluan yang terdapat dalam risalah ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelancong untuk menikmati keindahan Pahang dengan lebih dekat lagi malah boleh membantu meningkatkan kecergasan mereka,” kata Dato’ Sharkar dalam ucapan beliau.
Sciences Cycling Day 2013 & Akvititi Voluntourism
Acara berbasikal dan voluntourism ini disertai oleh 150 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Cawangan Pahang, Universiti Malaysia Pahang, Persatuan Berbasikal Pahang, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia Cawangan Pahang dan para pegawai Tourism Malaysia.
Acara pelepasan peserta berbasikal telah dilakukan oleh Timbalan Dekan, Fakulti Sains, UIAM Cawangan Kuantan, Prof. Dr. Ahmed Jalal Khan Chowdury, di perkarangan fakulti berkenaan.
Para peserta akan berbasikal sejauh 20km dan berakhir di Homestay Kampung Pantai Sepat. Selepas berbasikal, para peserta akan bergotong royong membersihkan kawasan masjid, pantai, dan persekitaran homestay tersebut serta menanam pokok di Kampung Pantai Sepat.
Elemen voluntourism ini merupakan inisiatif Tourism Malaysia dan Fakulti UIAM untuk mewujudkan kesedaran di kalangan para peserta mengenai kepentingan memelihara dan memulihara khazanah negara untuk generasi yang akan datang serta industri pelancongan negara.
Ini juga sejajar dengan kempen 1Malaysia Green, 1Malaysia Clean yang giat dipromosikan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Tourism Malaysia. Di samping itu, warga universiti juga dianggap sebagai duta kecil untuk mempromosikan pelancongan negara kepada rakan-rakan dan kelompok seusia tidak kira tempatan atau warga asing.
Pelancongan Berbasikal
Bagi merancakkan lagi aktiviti berbasikal di negara ini, Tourism Malaysia juga telah menganjurkan pelbagai program berbasikal sepanjang tahun 2012 dan awal 2013 seperti Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub, Kayuhan Merdeka di Raub, Kayuhan Sihat dan MTB Fun Ride @ Melaka, Kayuhan Sihat @ Tersang dan Le Tour de Homestay Selangor.
Setakat ini, sebanyak 190 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan dengan kerjasama 92 buah agensi pelancongan tempatan.
Antara pakej-pakej pelancongan berbasikal yang telah dibangunkan termasuklah CC1M Bike Ride Georgetown Bicycle & Trishaw Packages, CC1M Sabah Bike Ride - Bah Let’s Go Cycling, CC1M Bike Ride Kuching, Special Cycling Packages@Raub, CC1M Nature Ride Hulu Selangor, CC1M Terengganu Bike Ride, CC1M Perak Bike Ride – Discover Perak Cycling Package, CC1M Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands, CC1M Johor Bike Ride, Pakej Berbasikal Kedah
Darul Aman 2013, Melaka Cycling Packages 2013/2014, Pakej Berbasikal Perlis 2013, Pakej Istimewa Tersang dan Pakej Berbasikal Kelantan.
Sepanjang tahun 2012, sebanyak 4,982 buah pakej pelancongan berbasikal telah berjaya dijual di seluruh negara dengan jumlah jualan sebanyak RM581,190.
Sementara itu, sebanyak 2,745 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM461,775 telah berjaya dijual di seluruh negara dari Januari hingga Jun 2013.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Fauziah @ Zulilasari Bt. Elias, Pegawai Pelancongan, Pejabat Tourism Malaysia Pahang di 09-517 7111 atau emel fauziahelias@tourism.gov.my
TAMAT
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia
Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my