Mar 1, 2016

MAJLIS PELANCARAN JUALAN NASIONAL MALAYSIA 2016 - Bersedia Menikmati Jualan Hebat, Pengalaman Menakjubkan

KUALA LUMPUR, 1 Mac 2016 – Karnival beli-belah ekstravaganza Malaysia 2016 membuka tirainya hari ini dengan Majlis Pelancaran tiga kempen jualan tahunan negara iaitu Jualan Awal Tahun 1Malaysia (1 -31 Mac) yang menggantikan Jualan Grand Prix 1Malaysia, Karnival Jualan Mega 1Malaysia (15 Jun - 31 Ogos) dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1 Nov - 31 Dis).

Menggunakan slogan baharu “Jualan hebat, pengalaman menakjubkan”, ketiga-tiga jualan sensasi ini bertujuan memikat rakyat Malaysia dan para pelancong untuk membeli-belah, menjamu selera dan bersantai pada musim-musim membeli-belah yang terbaik pada tahun ini.

Majlis Pelancaran Jualan Nasional Malaysia 2016 telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Nu Sentral, Kuala Lumpur. Beliau turut memperkenalkan ikon promosi Shopping Malaysia yang baharu sahaja dicipta iaitu Miss SHOPhia. Ikon ini akan digunakan di dalam kempen-kempen beli-belah di dalam dan luar negara serta blog beli-belah dan makanan yang direka khusus, video-video viral dan iklan-iklan komersial.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah para tetamu jemputan yang terdiri daripada para penggiat industri pelancongan, para peruncit dan wakil-wakil media tempatan ,serta seramai 56 peserta Program Mega Fam Tourism Malaysia yang terdiri daripada media dan agensipelancongan antarabangsa dari Brunei, Filipina, India, Indonesia, Jeddah, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura, Syechelles, Thailand, dan Vietnam.

Pada hari ini, para peserta Mega Fam turut mengambil bahagian dalam Tourism Malaysia Shopping Hunt 2016 yang diadakan bersempena dengan Majlis Pelancaran tersebut. Para peserta dari Malaysia pula terdiri daripada wakil-wakil media, kompleks beli-belah, persatuan peruncit, dan Kelab Rekreasi Tourism Malaysia.

Para peserta dilepaskan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik&Domestik), Tourism Malaysia Chong Yoke Har di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang di Kuala Lumpur pada jam 10.00 pagi.

Acara memburu harta karun ini telah membawa para peserta ke beberapa laluan/kawasan beli-belah yang utama di Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang-Pusat Bandar Kuala Lumpur, Jalan Ampang, Jalan Hang Kasturi, Jalan Putra dan Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan menggunakan pengangkutan awam. Acara ini berakhir di Nu Sentral pada jam 3.30 petang.

Antara kompleks beli-belah, kafe dan hotel yang turut serta termasuklah Pavillion KL, Suria KLCC, Lot 10, Starhill Gallery, Nu Sentral, Outback Steak House, Coliseum Café dan Swiss Hotel Kuala Lumpur.

Para pemenang bakal menerima hadiah berupa wang tunai dan barangan yang ditaja oleh Tourism Malaysia, kompleks beli-belah, kafe dan hotel yang terlibat, BBKLCC, Batu Road Retailers Association (BARRA), dan Prasarana Malaysia Berhad.

Acara Tourism Malaysia Shopping Hunt 2016 ini bertindak sebagai platfom untuk memperkenal dan mempromosikan kawasan-kawasan beli-belah utama di ibu negara yang telah menyumbang kepada pembangunan Kuala Lumpur sebagai destinasi beli-belah yang menarik di Asia.

Musim-musim jualan tersebut merupakan waktu puncak bagi para pembeli-belah untuk menikmati tawaran istimewa dan diskaun besar-besaran, kejutan dan kempen tebusan di kedai-kedai dan kompleks beli belah terpilih selain mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Musim-musim jualan ini juga merupakan masa yang tepat untuk menjamu selera dengan pelbagai masakan Malaysia yang enak – daripada makanan jalanan hinggalah kepada pelbagai hidangan masyarakat Malaysia yang majmuk serta pengalaman gastronomi timur bertemu barat yang menyelerakan. Pengalaman membeli-belah dan makan menjadi lebih menarik dengan adanya pelbagai pilihan hiburan, rekreasi, dan aktiviti santai di dalam kompleks beli belah yang kontemporari serta bersepadu di seluruh negara.

Terkini, Kuala Lumpur telah memenangi beberapa anugerah beli-belah di peringkat antarabangsa termasuklah tempat kelima destinasi beli belah terbaik dunia oleh Expedia UK pada 2016, dan bandaraya membeli-belah kedua paling popular di seluruh dunia bagi pelancong Muslim pada 2015 berdasarkan Indeks Membeli-belah Pelancongan Muslim MasterCard-CrescentRating.

Kuala Lumpur turut dianugerahkan sebagai destinasi beli-belah keempat terbaik dunia oleh media antarabangsa CNN untuk dua tahun berturut-turut- 2012 dan 2013, manakala Globe Shopper Index yang berpusat di Geneva meletakkan Kuala Lumpur sebagai Destinasi Beli-belah Ke-2 Terbaik di Asia Pasifik pada 2012.

Beli-belah merupakan sektor yang penting bagi industri pelancongan negara. Pada 2014, jumlah perbelanjaan pelancong dalam sektor beli belah ialah sebanyak RM21.6 bilion berbanding RM19.8 bilion pada 2013 iaitu meningkat sebanyak 9.3%. Ia merupakan penyumbang kedua tertinggi dalam perbelanjaan pelancong dengan jumlah RM21.6 bilion atau 30% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion.

Sehingga September 2015, sektor beli-belah menjadi penyumbang utama dalam perbelanjaan pelancong dengan jumlah RM15.3 bilion atau 30% daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancong sebanyak RM51 bilion.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-

Baizuri Binti Baharum

Ketua, Sekretariat Shopping Malaysia
Tel: +603-88918469
Emel: baizuri@tourism.gov.my

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka dan seterusnya menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi

Unit Media dan Publisiti
Shukri Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat

Tel: +603-8891 8767

Emel: shukrihanafiah@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat

Tel: +603-8891 8759

Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use