Jul 8, 2012

LALUAN BARU "CUTI-CUTI 1MALAYSIA SUNDAY BIKE RIDE @ RAUB"

RAUB, 8 JULAI 2012: Satu lagi laluan basikal yang baru telah diperkenalkan pada acara Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub yang berlangsung buat kali ketiga di sini, hari ini. 

Laluan basikal sepanjang 11 kilometer tersebut bermula dari Taman Tasik Raub – Jalan Lipis – Sekitar Kampung Baharu Sempalit Hilir – Jalan Lipis - sekitar bandar Raub sebelum kembali semula Taman Tasik Raub.

Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen turut mencuba laluan tersebut bersama lebih kurang 300 orang para penunggang basikal lain bermula jam 7.00 pagi.

LATAR BELAKANG CUTI-CUTI 1MALAYSIA SUNDAY BIKE RIDE @ RAUB 

Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub merupakan program susulan kepada "Pelancaran Pakej Berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia @Raub yang dianjurkan pada 6 Mei 2012. Bandar Raub akan menjadi tumpuan untuk program berbasikal setiap  Ahad minggu pertama setiap bulan.

Program ini bertujuan untuk memperkenalkan daerah Raub sebagai salah satu destinasi pelancongan berbasikal. Program Ini dilihat dapat memberi Impak kepada aktiviti-aktiviti pelancongan di Raub serta memberikan pulangan dan menjana ekonomi pendapatan penduduk setempat memalui hasil pelancongan. Bagi merealisasikan program ini, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia telah mengenalpasti beberapa siri program Cuti-Cuti 1Malaysia  Sunday Bike Ride @Raub untuk dilaksanakan setiap bulan.

Antara objektif utama acara ini adalah:-

• Mempromosi dan memberi publisiti kepada pembangunan produk pelancongan dan meningkatkan aktiviti pelancongan di sekitar  daerah Raub.
• Memberi pulangan dan menjana pendapatan bagi para penduduk tempatan melalui hasil aktiviti pelancongan.
• Memberi sokongan ke atas usaha Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Kerajaan Negeri dan persatuan-persatuan berbasikal di Malaysia dalam menganjurkan pelbagai acara berbasikal di Malaysia.


Aktiviti bulanan yang melibatkan kayuhan di sekitar bandar Raub ini terbuka kepada para pelajar sekolah, kelab berbasikal, penduduk sekitar daerah Raub dan juga penduduk dari daerah lain seperti Bentong, Temerloh, Kuantan dan Kuala Lumpur

Selaras dengan dasar kerajaan, aktiviti ini juga dapat memupuk semangat bersukan dan gaya hidup sihat di kalangan warga Malaysia dan menjadikan program berbasikal di hujung minggu ini sebagai salah satu aktiviti riadah bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Tambahan lagi trend pelancongan berbasikal kini sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia.

Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa tempatan, Kelab Berbasikal Reborn Raub dan juga para penduduk setempat untuk melaksanakan perasmian program berbasikal "Cuti-Cuti 1 Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub".

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Hazrina Azman, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8437 atau emel hazrina@tourism.gov.my.

___________________________________________________________________________________________________

Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use