Jul 1, 2019

KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2020 MANFAATKAN KUASA PEMASARAN DIGITAL


KOTA KINABALU, 29 JUN 2019 – Tourism Malaysia kini menggunakan pemasaran digital dalam mempromosikan kempen Melawat Malaysia 2020, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof pada Program Kupi Kupi bersama Media di sini, hari ini.

“Kempen ini memfokuskan kepada pemasaran digital melalui laman web yang dibangunkan khas untuk VM 2020, serta penggunaan tanda pagar VisitMalaysia2020, VM2020 dan MalaysiaTruly Asia,” sambungnya lagi.

Beliau menjelaskan bahawa Tourism Malaysia telah memanfaatkan sepenuhnya kehadiran media sosial yang kuat, dan setakat 20 Jun 2019, Tourism Malaysia mempunyai seramai 3.3 juta pengikut di Facebook, 73,000 pengikut di Instagram, 422,489 pengikut di Twitter dan 45.6 tontonan di Youtube.

Di samping itu, usaha promosi VM 2020 juga telah dilaksanakan melalui program Mega Familiarisation Tourism Malaysia yang menyaksikan para pengamal media antarabangsa termasuk influencer media sosial, dan ejen-ejen pelancongan diundang ke Malaysia untuk mengenali negara ini dengan lebih dekat lagi. Sejak awal tahun ini, seramai 86 peserta antarabangsa telah menyertai empat program Mega Familiarisation tersebut. Sebanyak tiga lagi program sedang dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan berikut ini melibatkan penyertaan seramai lebih kurang 90 peserta.

Menurut Datuk Musa Yusof, program Mega Familiarisation merupakan salah satu strategi pemasaran Tourism Malaysia yang paling efektif. Pada tahun 2018, seramai 80 peserta dari 10 buah negara yang mengambil bahagian di dalam program tersebut telah menjana pulangan pelaburan berjumlah RM3.7 juta dari segi nilai publisiti melalui pelbagai artikel, dokumentari dan publisiti media sosial yang telah dihasilkan.

Melalui kuasa pemasaran media sosial, salah seorang peserta Mega Familiarisation, Rotasiz Seyyah, jurufoto dari Turki yang telah menyertai program tersebut baru-baru ini telah mendapat lebih daripada 17,000 ‘likes’ hanya dalam tempoh dua jam selepas beliau memuat naik status mengenai Malaysia di instagramnya.

Menyedari kepentingan pemasaran digital, Tourism Malaysia juga telah mengadakan sesi keterlibatan dengan lebih daripada 50 influencer media sosialdari India yang menghadiri ‘Digital

Influencer Convention 2019’ yang diadakan di Sabah baru-baru ini. Sebuah pertandingan fotografi telah diadakan untuk para peserta konvensyen tersebut yang perlu memuat naik status mengenai Malaysia di platform-platform media sosial mereka dengan menggunakan tanda pagar VisitMalaysia2020, VM2020 dan MalaysiaTrulyAsia.

Selain itu, usaha-usaha promosi VM 2020 yang telah dilaksanakan termasuklah dengan menjadi negara rakan kongsi rasmi di ITB Berlin yang merupakan salah sebuah pameran perdagangan pelancongan terbesar di dunia pada bulan Mac 2019 lalu. Di samping itu, Tourism Malaysia juga bekerjasama dengan Malaysia Airports Berhad melalui Program Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Bersama (JITDP). Program tersebut menyaksikan terjalinnya kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan dan para pengusaha pelancongan antarabangsa dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penerbangan ke Malaysia.

Sementara itu, logo kempen VM 2020 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 22 Julai, manakala lagu rasmi VM 2020 akan diperdengarkan kepada umum tidak lama lagi.

Program Kupi Kupi bersama Media pada hari ini dianjurkan oleh Tourism Malaysia bagi mendapatkan sokongan media di Sabah untuk mempromosikan VM 2020. Seramai lebih kurang 40 pengamal media dari Sabah telah menghadiri program tersebut.

Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau berkata, “Saya berharap media Sabah akan terus memberi sokongan kepada industri pelancongan melalui liputan positif mengenai pelancongan, kesenian dan budaya kita kerana industri ini telah telah memberikan kesan yang positif kepada negara terutamanya dari segi pembangunan sosio-ekonomi.”

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Unit Media
Encik Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use