Mar 1, 2019

KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA MALAYSIA ANJUR PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO KEMPEN VISIT MALAYSIA 2020


PUTRAJAYA, 1 MAC 2019: Sempena penganjuran Visit Malaysia 2020, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia akan mengadakan pertandingan mencipta logo kempen Visit Malaysia 2020. Pertandingan selama 14 hari dari 11 hingga 24 Mac 2019 ini layak disertai oleh semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.

Pemenang tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta sijil, manakala naib johan mendapat RM2,000 berserta sijil, tempat ketiga RM1,000 berserta sijil, dan lima pemenang saguhati dengan masing-masing menerima RM250 berserta sijil.

Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia untuk membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama menjayakan kempen Visit Malaysia 2020 dengan menyumbangkan keringat mereka melalui karya yang kreatif. Reka bentuk logo yang terpilih akan diguna pakai untuk kempen Visit Malaysia 2020 yang bakal berlangsung pada tahun depan.

Kempen Visit Malaysia 2020 adalah berteraskan kepada Wawasan 2020 dan memberi fokus kepada kelestarian pelancongan, seni dan kebudayaan (the Sustainability of tourism, arts and culture).

Rekaan logo kempen Visit Malaysia 2020 hendaklah melambangkan seni budaya masyarakat Malaysia, dan perlu diintegrasikan dengan logo Malaysia Truly Asia. Setiap penyertaan perlu mempunyai reka bentuk logo, dan rasional logo yang menonjolkan kepelbagaian produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia.

Logo kempen Visit Malaysia 2020 dikehendaki menggunakan Bahasa Inggeris, manakala rasional logo pula perlu dikemukakan dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

Penyertaan adalah percuma dan setiap peserta hanya boleh menghantar SATU penyertaan sahaja.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan mencipta logo Visit Malaysia 2020, sila lawati laman web www.tourism.gov.my, www.malaysia.travel dan www.motac.gov.my.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.9 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

VM2020 Secretariat hubungi:

En. Ahmad Kamaruddin Yusof
Penolong Pengarah Kanan
akamarudin@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8468

Ms. Shanina Samsuri
Penolong Pengarah
shanina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8441

Maklumat media, hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use