Dec 9, 2012

KAYUHAN PENUTUP TIRAI 2012 CC1M SUNDAY BIKE RIDE @ RAUB

RAUB, 9 DISEMBER 2012: Para peserta program berbasikal bulanan Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Sunday Bike Ride @ Raub telah melakukan kayuhan terakhir bagi tahun 2012 dengan mencuba laluan basikal yang baru sepanjang 15 kilometer mengelilingi bandar Raub.

Laluan basikal tersebut bermula dari Taman Tasik Raub – Bandar Raub – Jalan Lipis – Kg. Sempalit Baru – Petronas – Taman Amalina – Taman Simpang Kalang – Bulatan Taman Muhibbah – Sungai Lui – Balai Bomba – Taman Muhibah – Taman Shahbandar – Jalan Cheroh – Jalan Pekeliling – JKR Raub – Bandar Raub sebelum kembali semula ke Taman Tasik Raub.

Kolej Komuniti dan Taman Muhibah telah dipilih sebagai pit stop bagi membolehkan para peserta berehat dan mengumpul tenaga sebelum menyambung aktiviti berbasikal tersebut.

Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen turut mencuba laluan tersebut bersama lebih kurang 500 orang para penunggang basikal lain bermula dari jam 7.30 pagi.

Kayuhan penutup tirai 2012 ini turut disertai oleh seramai 20 penunggang basikal dari Kelab Berbasikal Bukit Katil Melaka.

Acara berbasikal secara konvoi dan santai ini terbuka kepada semua pelajar sekolah, para belia, ahli-ahli persatuan/kelab berbasikal dari sekitar daerah Raub dan seluruh Malaysia.

Menurut Menteri Pelancongan, program bulanan yang telah berlangsung selama hampir setahun ini telah menggalakkan aktiviti fizikal di kalangan penduduk Raub dan daerah sekitarnya sekaligus mendidik warga Raub untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Kewujudan program ini juga adalah seiring dengan peningkatan minat terhadap aktiviti berbasikal yang telah melanda bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga di seluruh dunia," kata beliau lagi.

YB Dato' Ng Yen Yen berkata minat itu timbul bukan sahaja kerana kesedaran terhadap amalan hidup yang sihat tetapi juga tentang kepentingan untuk memelihara alam sekitar.

"CC1M Sunday Bike Ride @ Raub juga telah banyak membantu mempromosi tempat-tempat tarikan pelancongan yang terdapat di sekitar Raub sekaligus menjadi pencetus kepada kewujudan pakej-pakej pelancongan berbasikal di seluruh Malaysia," sambung beliau lagi.

YB Dato' Ng Yen Yen turut berkata bahawa beliau akan memastikan bahawa program ini akan terus dijalankan kerana aktiviti riadah seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan di kalangan para penduduk Raub dan juga merangsang semangat perpaduan antara para peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum. 

Program terakhir CC1M Sunday Bike Ride @ Raub bagi 2012 ini turut membawa para wakil media melawat destinasi percutian tanah tinggi Bukit Fraser yang terkenal dengan jolokan Little England kerana cuacanya yang sejuk dan dipenuhi seni bina bangunan ala-Tudor yang menggunakan batu granit. Bukit Fraser juga adalah syurga bagi para pemerhati burung dari seluruh dunia.  

Para wakil media juga berpeluang untuk melawati tempat peranginan baru yang bertemakan alam iaitu 8 Acres yang terletak di Mukim Gali, Sungai Klau di Raub. 8 Acres menawarkan tempat penginapan yang dibina menggunakan konsep hijau sepenuhnya seperti binaan daripada barangan kitar semula dan menggunakan tenaga solar serta hidroelektrik dan menawarkan keindahan alam semulajadi yang masih lagi terpelihara kepada para pengunjungnya.

Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkuasa tempatan, jabatan-jabatan kerajaan, kelab Berbasikal Reborn Raub dan badan bukan kerajaan daerah Raub untuk melaksanakan program Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @Raub ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Hazrina Azman, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8437 atau emel hazrina@tourism.gov.my


___________________________________________________________________________________________________


Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use