Feb 23, 2022

JERAYAWARA ‘MY DESTINATION SABAH & LABUAN’ SASAR TINGKATKAN PELANCONGAN DOMESTIK, BANTU PENGENDALI PELANCONGAN

JOHOR BAHRU, 23 Februari 2022 – Tourism Malaysia meneruskan usaha membantu para penggiat industri, khususnya pengendali pelancongan dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, apabila mempertemukan mereka dengan pembeli berpotensi di Wilayah Selatan dalam program ‘My Destination Sabah & Labuan Meet Johor Roadshow 2022’.

Jerayawara berkonsepkan Business to Business (B2B) itu bertujuan mempromosikan destinasi, produk serta pakej-pakej pelancongan kepada kira-kira 80 wakil agensi pelancongan, jabatan kerajaan dan swasta serta syarikat korporat yang disasarkan menyertai program tersebut.

Inisiatif berkenaan digerakkan oleh Pejabat Tourism Malaysia Sabah selepas menerima sambutan cukup memberangsangkan dalam misi jualan ke Pulau Pinang pada penghujung tahun lalu. Penganjuran program ini turut mendapat kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Perbadanan Labuan, Persatuan Pelancongan Sabah (STA) serta syarikat penerbangan Malaysia Airlines, MASwings dan AirAsia Berhad.

Majlis perasmiannya berlangsung pada hari ini di Fraser Place Puteri Harbour, Johor Bahru dan dirasmikan oleh Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara [Menanggung Kerja Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan)] Tourism Malaysia.

Sebanyak 22 agensi pelancongan, 7 hotel dan 3 syarikat penerbangan telah dibawakan dari Sabah dan Labuan bagi menawarkan pakej-pakej berbentuk lawatan insentif, program hari keluarga korporat serta pakej pelancongan perniagaan.

Hadir sama Cik Tay Shu Lan, Timbalan Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah; Puan Zunaidah Hamzah, Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan; Puan Trecey J Tojuka, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah dan Encik Solehuddin Ahmad, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan.

Turut berlangsung ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara konsortium pelancongan Sabah dan Johor bagi memeterai kerjasama untuk mempromosikan pakej-pakej pelancongan di kedua-dua buah negeri.

Konsortium pelancongan Sabah disertai oleh agensi pelancongan Funholiday Tours & Travel Sdn. Bhd., Travel4You Sdn. Bhd., I-World Travel & Tours Sdn. Bhd. manakala konsortium pelancongan Johor dibentuk menerusi gabungan JSG Holidays Sdn. Bhd., Razi Rafi Explorer Travel & Tours dan Executive Travel & Tours Sdn. Bhd.

Encik Iskandar Mirza berkata, penganjuran program tersebut diharap dapat memberikan sokongan kepada para pengendali pelancongan khususnya di Sabah dan Labuan sekali gus berupaya memangkin penyemarakan industri pelancongan domestik.

“Pelbagai pakej menarik ditawarkan bagi menjadikan Sabah dan Labuan sebagai destinasi pelancongan pilihan selain penganjuran acara-acara korporat seperti mesyuarat, seminar, persidangan serta program pengukuhan pasukan (team building) yang mampu menggalakkan percutian terancang dalam norma baharu.

“Selain memfokuskan kepada B2B, pengendali pelancongan dari Sabah dan Labuan turut berpeluang untuk menjalankan aktiviti ‘cross-selling’ di beberapa lokasi pelancongan di Wilayah Selatan apabila dibawa mengikuti lawatan produk sekitar Johor dan Melaka di bawah kelolaan Tourism Johor dan Tourism Melaka,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Tracey@Tracy J Tojuka
Timbalan Pengarah
Tourism Malaysia Sabah
tracey@tourism.gov.my
Tel: +6088 211 732

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use