JERAYAWARA JOM CUTI-CUTI MALAYSIA 2023 KEMBALI DENGAN DISKAUN HEBAT SEHINGGA 50%
SUBANG JAYA, 28 Oktober 2023 – Program pameran dan jualan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Blue Atrium, Sunway Pyramid bermula semalam, menawarkan lebih 100 pakej pelancongan melibatkan tawaran diskaun antara 15 sehingga 50 peratus.
Program jelajah tersebut yang memasuki siri ketujuh pada kali ini, telah berjaya merekodkan hasil jualan yang dianggarkan bernilai RM4,587,822.75 dengan sejumlah 20,947 pakej pelancongan telah terjual setakat ini.
Antara pakej-pakej pelancongan yang disasarkan bakal menarik minat pengunjung ialah Pakej Jelajah Kota Kinabalu dan Kundasang, pakej glamping, pakej berbulan madu, pakej percutian ke Pulau Rawa, Redang dan Tioman; Pakej Cruise Tasik Putrajaya, tiket masuk ke Sunway Lagoon Theme Park, Segar City, Super Park dan Farm In The City; pakej selam skuba, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia serta Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong.
Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, penganjuran Jerayawara JCCM 2023 bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada pengguna selain menggalakkan rakyat Malaysia untuk merancang percutian di dalam negara.
“Pada masa yang sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi penglibatan 30 wakil industri terdiri daripada agensi dan pemilik produk pelancongan, hotel serta taman tema selain meningkatkan kunjungan orang ramai ke pusat beli-belah.
“Dalam pada itu, kita juga berharap dapat meningkatkan pergerakan percutian di dalam dan antara negeri-negeri di Malaysia menerusi tawaran pakej pelancongan “value for money” yang hanya boleh diperoleh dalam masa tiga hari sepanjang jerayawara ini berlangsung,” katanya.
Dilancarkan pada 25 Februari lalu, beberapa siri sebelum ini telah diadakan di AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 26-28 Mei lalu diikuti oleh AEON Mall Kinta City (14-16 Julai) dan AEON Mall Shah Alam (25-27 Ogos). Jerayawara JCCM 2023 bakal melabuhkan tirainya secara rasmi dalam siri kelapan yang bakal dianjurkan di AEON Mall Bandaraya Melaka pada 10-12 November depan.
Selain pameran dan jualan pakej pelancongan, pengunjung turut disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan, pertunjukan roti canai terbang serta cabutan bertuah.
Turut dipromosikan ialah kempen Tahun Melawat Melaka, Perak dan Perlis 2024 menerusi tayangan video, hebahan maklumat dan risalah, kuiz pelancongan serta penawaran pakej-pakej percutian.
Mendepani Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia akan bergerak lebih agresif dalam memperkasakan aktiviti promosi dan pemasaran pelancongan sama ada di peringkat antarabangsa mahupun domestik, seiring dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM 97.6 bilion.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal.Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Maizatul Liza Mukhtar
Penolong Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
maizatulliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8493
Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755