Jul 14, 2023

JERAYAWARA JOM CUTI-CUTI MALAYSIA 2023 JELAJAH KE IPOH


IPOH, 14 Julai 2023 – Tourism Malaysia hari ini meneruskan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia (JCCM) 2023 dengan menjelajah ke AEON Mall Kinta City Ipoh, Perak selama tiga hari dengan tawaran diskaun pembelian pakej pelancongan sehingga 50 peratus.

Program pameran dan jualan JCCM 2023 yang bermula dari 14 hingga 16 Julai ini dijayakan oleh 26 penggiat industri pelancongan tempatan yang terdiri daripada ejen, pemilik produk pelancongan, dan hotel yang menawarkan lebih 100 pakej pelancongan yang menarik.

Antara pakej menarik yang ditawarkan kepada pengunjung ialah Pakej Explorasi Royal Belum, Pakej Pesta Bulan Mengambang di Muar, Pakej Durian ‘Madness’, Pakej Eksplorasi 8 Pulau di Semporna, Pakej Jelajah Kota Kinabalu dan Kundasang, Pakej Percutian di Gunung Jerai, Pakej Cuti-Cuti Cikgu, Pakej Minat Khas Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tourism Malaysia, Pakej Selam Skuba ‘Dive Into The Unimaginable’ 2023 dan Pakej Pelancongan Arkeo dan Geopark Lembah Lenggong.

En. Iskandar Mirza Mohd Yusof, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia berkata, siri keempat penganjuran JCCM 2023 diteruskan ke Ipoh, Perak bagi menggalakkan warga Perak untuk terus melancong dalam negara sekali gus merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik.

“Para pengunjung boleh mendapatkan potongan diskaun bagi pakej pelancongan dengan harga yang berpatutan dalam tempoh tiga hari sepanjang jerayawara ini berlangsung. Selain itu, pengunjung juga boleh merancang percutian bagi cuti sekolah penggal kedua yang bakal tiba pada hujung bulan Ogos,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 25 Februari lalu, JCCM 2023 telah memulakan siri jelajahnya ke empat lokasi dan akan diteruskan ke empat lagi lokasi di seluruh negara iaitu di AEON Mall Shah Alam (25-27 Ogos), Sunway Carnival Mall (29 September - 1 Oktober), Sunway Pyramid (27-29 Oktober) dan AEON Mall Bandaraya Melaka (10-12 November).

Selain daripada pameran dan jualan pakej pelancongan, JCCM 2023 turut menyajikan persembahan tarian kebudayaan dan muzik, demonstrasi kraftangan, kuiz pelancongan serta cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Maizatul Liza Mukhtar
Penolong Pengarah
Bahagian Domestik & Acara
maizatulliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8493

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use