Dec 15, 2003

GALERIA SRI PERDANA DIBUKA KEPADA UMUM

Sri Perdana yang kini dikenali sebagai Galeria Sri Perdana mula dibuka kepada masyarakat umum buat pertama kalinya pada 21 Disember 2003. Bekas kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia keempat , YAB Tun Dr Mahathir Mohammad kini terletak di bawah pengurusan Jabatan Arkib egara berikutan keputusan kerajaan untuk mewujudkan Galeria tersebut sempena memperingati danmengenang jasa dan sumbangan Tun Dr Mahathir sepanjang 22 tahun sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Perasmian Galeria Sri Perdana telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 20 Disember 2003,
sehari sebelum Galeria itu dibuka kepada orang ramai. Galeria Sri Perdana merupakan kediaman Tun Dr Mahathir dari 23 Ogos 1983 hingga 18 Oktober 1999.

Terletak di Jalan Damansara, Galeria ini terbahagi kepada dua aras dan satu tingkat bawah. Aras 1 memuatkan ruang tamu, bilik mesyuarat, dapur bankuet, sudut tayangan dan sebuah ruang pameran. Terdapat satu sudut koleksi topi dan kasut, bilik tidur utama, bilik persalinan, bilik bacaan, ruang makan keluarga, balkoni dan sebuah ruang pameran di Aras 2. Manakala, tingkat bawah pula memuatkan dapur utama, bilik cucian, teater perdana, sudut pameran kereta, rumah hijau dan taman burung. Galeria ini di buka kepada orang ramai setiap hari (10 pagi -5 petang), kecuali pada hari Isnin. Galeria ini juga dibuka pada hari cuti umum dan sepanjang cuti sekolah. Untuk maklumat lanjut mengenai Galeria Sri Perdana, sila  hubungi Galeria Sri Perdana di talian 032072 2663 atau layari www.arkib.gov.my.

Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi, Tourism Malaysia
Tarikh: 15 Dis 2003
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi
Anis Shabirin di 032693 5188 atau email aniss@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use