Apr 14, 2023

DATO’ DR. AMMAR DILANTIK KETUA PENGARAH TOURISM MALAYSIA

Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar, Ketua Pengarah Tourism Malaysia

PUTRAJAYA, 14 April – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 12 April 2023.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing telah bersetuju melantik Dato’ Dr. Ammar secara rasmi bagi menggantikan Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab yang bersara wajib pada 10 April 2023.

Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian Hotel dan Pengurusan Pelancongan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dato’ Dr. Ammar sebelum ini merupakan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah dan Oceania).

Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai Pengarah Kanan Pengurusan selain menerajui Bahagian Perancangan Strategik serta Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia.

Selain pernah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan, beliau turut menjawat jawatan Pengarah Luar Negeri di Osaka dan Moscow, masing-masing pada tahun 1999 dan 2008 serta Pengarah Negeri Tourism Malaysia Kedah/Perlis pada tahun 2005.

Pada tahun 2021, Dato’ Dr. Ammar mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Gelembung Perjalanan bagi memacu usaha pemulihan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan, UiTM sehingga kini.

TAMAT


Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Khairul Abidin Nuar
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
khairul@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8760

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755


Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use