Oct 2, 2014

DAFTAR SEGERA: PATA HUB CITY FORUM

PUTRAJAYA, 30 September 2014 – Adakah perdagangan pelancongan serantau telah bersedia dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 1 Januari 2015?

AEC-2015 yang merangkumi 10 negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia) telah menyasarkan untuk mentransformasikan rantau ini menjadi pasaran tunggal, dan pangkalan pengeluaran yang mempunyai daya saing tinggi sekaligus menjadikannya rantau yang stabil, dan maju. Bagaimanakah AEC boleh mempengaruhi, dan memberi kesan kepada perniagaan pelancongan di rantau ini, dan juga di Malaysia?

Matlamat penganjuran PATA Hub City Forum yang bertemakan ‘AEC 2015 – Where is Tourism Heading?’ ini ialah untuk menjawab persoalan tersebut!

PATA Malaysia Chapter (PMC) dengan kerjasama PATA Headquarters, dan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC), serta Tourism Malaysia akan memulakan langkah dengan memberi penjelasan mengenai peristiwa penting ini melalui PATA Hub City Forum yang bertemakan ‘AEC 2015 – Where is Tourism Heading?’ Forum ini akan diadakan pada Rabu, 15 Oktober 2015 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, dan akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

PATA Hub City Forum akan menyentuh beberapa isu yang akan dihadapi oleh Malaysia apabila tertubuhnya AEC selain menerokai sumber pertumbuhan baru bagi industri perjalanan dan pelancongan. Antara tajuk yang akan dibincangkan termasuklah polisi dan pelaksanaan AEC serta peluang dan cabaran yang bakal dihadapi oleh pihak berkepentingan. Dengan ASEAN sebagai penyumbang tertinggi kepada kedatangan pelancong iaitu seramai 19.1 juta orang, mewakili 74.3% daripada jumlah keseluruhan kedatangan pelancong ke Malaysia pada 2013 maka penganjuran forum ini adalah tepat pada masanya. Sejajar dengan objektif Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia untuk meningkatkan perbelanjaan setiap orang pelancong, forum ini adalah platform yang tepat untuk membincangkan bagaimana untuk mencapainya dalam perjalanan menuju ke hadapan.

Di samping itu, forum ini juga mungkin akan menjadi “panggilan terakhir” bagi memberikan maklumat terkini mengenai AEC kepada pihak berkepentingan. Para penggiat industri pelancongan dan penyedia perkhidmatan, syarikat-syarikat penerbangan, para pengusaha pengangkutan dan mereka yang mempunyai minat dalam bidang pelancongan serantau seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menyertai forum ini.



Untuk pendaftaran, sila lawati laman web www.pata.org, atau hubungi PATA Malaysia Chapter (Encik GP Subramaniam di 019-339 3162 atau emel patamalaysia@gmail.com.

Maklumat Latar Belakang

PATA atau Persatuan Pelancongan Asia Pasifik yang berpangkalan di Bangkok ini merupakan persatuan yang mempunyai keanggotaan antarabangsa dan pakar terulung dalam bidang perjalanan dan pelancongan Asia Pasifik. Misi PATA ialah untuk merangsang pertumbuhan, nilai dan kualiti perjalanan dan pelancongan di Asia Pasifik demi kepentingan ahli-ahli PATA.

PATA Malaysia Chapter atau PMC pula ialah cawangan kepada PATA dan bertanggungjawab untuk melaksanakan matlamat globalnya mengikut kesesuaian dalam Malaysia melalui pelbagai program dan aktiviti yang berkaitan dengan komuniti tempatan dan membolehkan ahli-ahli cawangan menggunakan fasiliti-fasiliti PATA.

Terkini, PMC mempunyai seramai 83 orang ahli yang terdiri daripada sektor kerajaan, syarikat penerbangan, pertubuhan pendidikan, hotel, para pengusaha pelancongan dan lain-lain organisasi yang berkaitan dengan industri pelancongan dan perkhidmatan.

-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada 2013 dan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use