Oct 1, 2014
CORPORATE TRAVEL BAZAAR PULAU PINANG TARIK MINAT PELANCONG PERNIAGAAN DI UTARA SEMENANJUNG
PULAU PINANG, 1 Oktober 2014 – Tourism Malaysia telah menyasarkan nilai jualan pakej pelancongan domestik sebanyak RM2.5 juta di edisi keenam Corporate Travel Bazaar (CTB) yang akan diadakan di Hotel Eastin, Pulau Pinang pada 16 Oktober 2014. CTB ini diadakan bertujuan untuk mempromosikan pakej MICE kepada pasaran perniagaan domestik. Antara pakej yang ditawarkan kepada para pengunjung termasuklah pakej pelancongan insentif, program hari keluarga korporat, program pembinaan pasukan (team building), pakej pelancongan perniagaan dan sebagainya.
“Oleh kerana sambutan yang diterima pada edisi-edisi terdahulu adalah amat menggalakkan, Tourism Malaysia telah bercadang untuk menganjurkan program ini sebanyak dua kali setahun dan Pulau Pinang bakal menjadi lokasi kedua pada tahun ini selepas penganjuran edisi kelima CTB di Johor Bahru pada Ogos lalu,” jelas Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Dato’ Haji Azizan Noordin.
Beliau menambah bahawa edisi keempat CTB yang dianjurkan pada 2013 telah berjaya menarik penyertaan seramai 73 penjual dan 380 pembeli dengan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM2,280,788.
Dato’ Haji Azizan berharap agar program CTB ini akan dapat memberi kesedaran mengenai bidang pelancongan perniagaan yang semakin berkembang di negara ini kepada sektor-sektor korporat dan awam di wilayah utara.
“Kita ingin menarik minat komuniti perniagaan tempatan untuk menganjurkan acara-acara korporat mereka seperti mesyuarat, seminar, persidangan, program mencari ketenangan, dan pelancongan insentif dalam Malaysia," kata beliau.
Menurut Dato’ Haji Azizan, penganjuran program CTB ini adalah sejajar dengan misi Tourism Malaysia untuk menitikberatkan kepentingan sektor MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran) di samping merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dalam kalangan komuniti perniagaan tempatan.
"Pakej-pakej MICE yang dibangunkan oleh para peserta menawarkan fasiliti yang lengkap, perkhidmatan yang cemerlang dan berkualiti serta lokasi strategik yang berhampiran dengan pelbagai tarikan pelancongan," sambung beliau lagi sambil menjelaskan bahawa beliau berharap agar CTB akan dapat meningkatkan pergerakan pelancong domestik dalam kalangan syarikat-syarikat korporat dan pelbagai agensi kerajaan di Malaysia.
Program sehari ini akan melibatkan pertemuan dua hala yang berkonsepkan perniagaan ke perniagaan (B2B) antara para pengusaha pelancongan (sellers) dan para pembeli (buyers dari sektor-sektor korporat dan awam di sekitar utara semenanjung.
Para peserta yang disasarkan untuk program ini merupakan para penggiat industri pelancongan (sellers) dari seluruh negara seperti para pengusaha agensi pelancongan, pengusaha hotel dan resort, penyedia pengangkutan dan pengusaha produk pelancongan.
Tourism Malaysia telah menyasarkan penyertaan seramai 70 penjual (sellers) dan 500 pembeli (buyers) pada CTB di Pulau Pinang ini.
Program Corporate Travel Bazaar 6/2014 ini merupakan kesinambungan kepada lima program Corporate Travel Bazaar yang pernah diadakan sebelum ini iaitu di Hotel Puteri Pacific, Johor Bahru pada Ogos 2014, Hotel Eastin, Pulau Pinang pada 2013, Hotel Grand Bluewave, Shah Alam pada 2012, Hotel Empire, Subang pada 2011 dan Hotel Hilton, Petaling Jaya pada 2009.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Badrul Amin Mohd Bisharuddin, Penolong Pengarah , Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 03-8891 8453.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada 2013 dan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan.
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my