Aug 15, 2012

"CUTI-CUTI 1MALAYSIA (CC1M) ROAD SAFETY & DRIVE

KUALA LUMPUR, 15 OGOS 2012: Sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba, para pemandu teksi di Lembah Kelang terutamanya yang telah dilantik sebagai Duta Teksi Pelancongan dinasihatkan supaya memandu dengan lebih berhati-hati dan secara berhemah.

Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato' Sri Dr, Ng Yen Yen berkata bahawa sebagai Duta Teksi Pelancongan, mereka perlu menunjukkan sifat yang terpuji dengan tidak melanggar peraturan jalan raya terutamanya di musim-musim perayaan.

"Tidak kira sama ada anda akan bertugas ataupun pulang ke kampung pada hari raya nanti, saya berharap anda semua akan memeriksa kenderaan masing-masing, mematuhi had laju yang ditetapkan, tidak menyalahgunakan laluan kecemasan dan sentiasa memakai tali pinggang keselamatan," katanya.

Menteri Pelancongan berkata demikian ketika berucap pada Program “Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Road Safety & Drive Safely – Duta Teksi Pelancongan” yang telah dihadiri oleh 150 orang pemandu teksi Lembah Kelang yang juga peserta kursus Duta Teksi Pelancongan di Pusat Pelancongan Pelancongan (MaTIC), Jalan Ampang, di sini, hari ini.

"Saya percaya walaupun ramai warga Kuala Lumpur yang akan pulang ke kampung masing-masing semasa Hari Raya, Lembah Kelang tetap akan dipenuhi dengan para pelancong luar negara mahu pun pelancong domestik," sambung beliau lagi.

Dato' Sri Dr. Ng Yen Yen berkata bahawa berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan perjalanan pelancongan domestik akan meningkat semasa musim-musim perayaan kerana orang ramai mengambil kesempatan cuti yang panjang untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di seluruh negara.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan anda semua supaya memandu dengan cermat supaya selamat sampai ke destinasi masing-masing," tambah beliau lagi.    

LATAR BELAKANG PROGRAM DUTA TEKSI PELANCONGAN

Program Duta Teksi Pelancongan merupakan program perintis anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia yang bermula pada bulan Mac tahun ini dan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak pada 4 Julai yang lalu di Dataran Putrajaya, Putrajaya.

Setakat ini, sebanyak 33 buah kursus Duta Teksi Pelancongan telah dijalankan sejak ia bermula dan telah melibatkan seramai 3,339 orang pemandu teksi di Lembah Kelang.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk jalinan kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan industri pelancongan dengan pemandu teksi untuk membangunkan industri pelancongan negara.

Sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, YBhg. Dato’ Dr. Ong Hong Peng telah ditubuhkan bagi melaksanakan program ini dan ia dianggotai oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Persatuan-persatuan Teksi dan Limo, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Para pemandu teksi yang menyertai kursus pada hari ini bukan sahaja akan menerima Sijil Kursus dan Kad Duta Teksi Pelancongan Malaysia,mereka juga telah diberikan elaun hilang mata pencarian sebanyak RM100. Kursus yang dijalankan secara berperingkat ini akan merangkumi semua “Duta-duta” teksi yang terlibat supaya mereka dapat menguasai pengetahuan yang lengkap semasa menjalankan tugas mereka.

Pengiktirafan dan penarafan bintang akan diberikan kepada mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh program ini dijalankan. “Duta-duta Teksi” juga akan layak menerima imbuhan sebanyak RM100 setiap bulan sepanjang tempoh berkenaan untuk menghargai komitmen mereka serta meningkatkan lagi motivasi mereka untuk lebih gigih dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan negara.

Kriteria umum bagi pemilihan pemandu teksi sebagai Duta Teksi Pelancongan ialah sentiasa kemas, berpewatakan baik dan menarik serta mempunyai rekod-rekod pemanduan dan perkhidmatan yang terbaik.

Duta-duta Teksi ini akan beroperasi di lokasi-lokasi tumpuan para pelancong seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Terminal Tambang Murah (LCCT), Stesen KL Sentral, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan seumpamanya.

MaTIC telah dijadikan Pusat Sehenti (One Stop Center) bagi program ini untuk membolehkan Duta-duta Teksi Pelancongan ini mendapatkan bahan-bahan promosi seperti brosur produk pelancongan, kalendar acara pelancongan tahunan, cakera padat Malaysia Truly Asia dan Homestay.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Muhammad Aminuddin Abdul Majid, Penolong Pengarah, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di 03-8891 8405 atau emel aminuddin@tourism.gov.my.

___________________________________________________________________________________________________


Disediakan oleh: Bahagian Komunikasi dan Publisiti, Tourism Malaysia
Tel: 03-8891 8000 Faks: 03-8891 8788
E-mel: sitirahmah@tourism.gov.my Laman web: www.tourismmalaysia.gov.my
Facebook: http://www.facebook.com/friendofmalaysia
Twitter: http://twitter.com/tourismmalaysia Blog: http://blog.tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use