Mar 11, 2015

Dato' Seri Dr. Ng Yen Yen Chairman sp Sempena Pelancaran Pakej MyFest 2015 Jakarta

UCAPAN
YBHG TAN SRI DATO’ SRI DR. NG YEN YEN
PENGERUSI TOURISM MALAYSIA

MAJLIS MAKAN MALAM PENGHARGAAN & PELANCARAN PAKEJ
PELANCONGAN MYFEST 2015

MALUKU ROOM, SHANGRI-LA HOTEL, JAKARTA, INDONESIA
11 MAC 2015, WEDNESDAY, 7:00 PM

Salam Sejahtera dan Salam Persaudaraan dari Malaysia

SALUTASI:

Tuan Yang Terutama Dato' Sri Zahrain Mohammad Hashim

Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia

Dan Isteri Datin Sri Cik Mahani Ismail

Wakil-wakil pengusaha dan ejen pelancongan,

Wakil-wakil syarikat penerbangan

Wakil-wakil korporat

Wakil-wakil media,

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

PENGENALAN

1. Selamat malam. Bagi pihak Tourism Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian kerana dapat meluangkan masa untuk hadir sama ke majlis yang penuh bermakna ini.

2. Sesungguhnya, majlis pada malam ini merupakan tanda penghargaan kami kepada para penggiat industri pelancongan, rakan-rakan korporat, dan rakan-rakan media di Indonesia atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh Bapak dan Ibu semua selama ini dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan kepada warga Indonesia. Majlis ini juga sangat besar ertinya kepada saya kerana berpeluang bertemu dengan bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian.

3. Sejak terjalinnya hubungan antara Malaysia dan Indonesia, banyak kemajuan telah dicapai dalam hubungan dua hala antara kedua-dua belah negara. Adalah penting usaha bersepadu ini diteruskan bagi meningkatkan kemajuan dan persefahaman demi kepentingan industri pelancongan Malaysia dan Indonesia.

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

KEPENTINGAN PASARAN INDONESIA

4. Pasaran Indonesia amat penting buat industri pelancongan Malaysia kerana faktor populasinya yang ramai serta kuasa beli yang mapan. Indonesia adalah penyumbang kedua terbesar kepada jumlah pelancong asing ke Malaysia.

5. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2014, seramai 2.32 juta (2,321,027) pelancong Indonesia telah berkunjung ke Malaysia, menyaksikan peningkatan sebanyak 11.9% berbanding 2.07 juta (2,074,038) pelancong dalam tempoh yang sama pada 2013.

6. Peningkatan memberangsangkan pelancong Indonesia ini turut dibantu oleh 608 penerbangan seminggu dengan jumlah tempat duduk sebanyak 101,593 dari kota-kota Indonesia ke Malaysia melalui Malaysia Airlines, Garuda Indonesia, Air Asia, Firefly, Lion Air, Malindo Air, Mas Wing, Express Air, Lufthansa, Kuwait Air dan KLM.

7. Selain itu, pembukaan laluan baru seperti Jakarta-Johor Bahru, Bandung-Johor Bahru dan Bali-Kota Kinabalu turut menyumbang kepada peningkatan tersebut.

8. Kami telah menyasarkan kedatangan seramai 2.9 juta (2,957,000) pelancong Indonesia sempena Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015 ini. Oleh itu, kedatangan Yang Terhormat Bapak-Bapak dan Ibu-Ibu semua amatlah dialu-alukan.

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

PELANCARAN PAKEJ MYFEST 2015

9. Pada tahun ini, Malaysia telah memperkenalkan kempen promosi pelancongannya yang terbaru iaitu Tahun Festival Malaysia atau Malaysia Year of Festivals (MyFest) 2015 yang merupakan kesinambungan daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

10. Ia bertujuan untuk memberikan pelancong (parawisata) satu pengalaman percutian yang menakjubkan dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek kebudayaan melalui sambutan pelbagai perayaan oleh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan budaya.

11. Bertemakan “Endless Celebrations”, sebanyak 50 buah acara dan festival kebudayaan telah dikenalpasti sebagai tarikan utama sepanjang sambutan MyFest 2015 ini, dan kami amat mengalualukan kedatangan anda semua ke Malaysia untuk menyaksikannya.

12. Antara acara-acara dan festival yang akan menyerikan lagi sambutan MyFest 2015 ini ialah Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa, Festival Topeng Antarabangsa, Royal Floria Putrajaya, dan Festival E-Street Putrajaya.

13. Sempena MyFest 2015 ini, Malaysia telah mensasarkan ketibaan pelancong asing seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada tahun 2015. Ia adalah sebahagian usaha kami untuk mencapai ketibaan 36 juta pelancong dengan sumbangan pendapatan berjumlah RM168 bilion pada 2020.

14. Berikutan dengan itu, Tourism Malaysia telah menjalinkan perkongsian strategik dengan agen-agen pelancongan serta pelbagai syarikat korporat dan syarikat penerbangan Indonesia untuk membangunkan pakej pelancongan sempena MyFest 2015.

15. Pakej-pakej MyFest 2015 yang telah dibangunkan ini memfokuskan kepada minat pelancong Indonesia agar dapat memenuhi kehendak dan memberi kepuasan yang maksimum kepada mereka.

16. Sebanyak tiga pakej MyFest 2015 telah dibangunkan bagi suku pertama tahun ini dengan kerjasama lapan agensi pelancongan Indonesia. Pakej-pakej tersebut ialah Pakej 1Malaysia GP Sale 2015, Pakej 2015 Formula 1 Petronas Malaysia GP, dan Pakej WAITGC (World Amateur Inter-Team Golf Championship).

17. Saya difahamkan bahawa lebih banyak pakej akan dibangunkan dalam waktu terdekat ini seperti pakej MotoGp, pakej berbasikal, pakej fotografi, pakej homestay, dan pakej Harley Davidson Tour.

18. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Consortium Agent, TX Travel, Dwidaya Tour, Lily Tours, Shilla Tour, Panen Tour, D’Iva Tours, W.G.P., Habibi Tours, Vijaya Tour, Bank Mandiri, CIMB Bank, Blok M, dan Nutrifood kerana sudi bekerjasama dengan kami untuk membangunkan pakej MyFest 2015 ini.

19. Saya juga amat senang sekali kerana perkongsian strategik ini bukan hanya melibatkan para penggiat industri pelancongan Indonesia tetapi juga syarikat-syarikat korporat daripada industri yang berbeza. Ini adalah satu perkembangan yang positif.

20. Saya juga berterima kasih kepada rakan-rakan dari syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, Garuda Indonesia, dan AirAsia serta wakil-wakil media yang banyak membantu mempromosikan Malaysia sebagai salah satu destinasi berlibur.

Bapak-bapak dan Ibu-ibu sekalian,

PENUTUP

21. Pertemuan kita pada hari ini adalah satu contoh negara bertetangga yang bersahabat dan saya mengharapkan kerjasama antara keduadua belah negara dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

22. Bagi pihak kami, sokongan padu yang berterusan daripada Bapak dan Ibu semua amatlah diperlukan terutamanya ketika negara kami sedang menyambut Tahun Festival Malaysia sepanjang tahun ini

23. Sebelum mengundur diri, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dari agensi pelancongan, korporat dan media yang telah sama-sama berusaha untuk mempromosikan Malaysia. Oleh yang demikian, saya dengan sukacitanya melancarkan “Pakej MyFest 2015 ini.

Sekian, terima kasih.

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use