Dec 21, 2018

SAMBUTAN TUI FLY @ CRUISE KE LANGKAWI


TUI UK LTD dan Thomson Cruise telah memilih Langkawi, Malaysia sebagai homeport mereka untuk pelayaran di Asia Tenggara berdasarkan cadangan daripada Tourism Malaysia dan Malaysia Airport Berhad (MAHB) semasa World Travel Mart 2016 di London. Kedua-dua TUI UK LTD dan Thomson Cruise telah bersetuju untuk menawarkan pakej Fly & Cruise untuk program percutian musim sejuk 2018-2019 kepada pasaran United Kingdom (UK). Terminal Cruise Langkawi milik Star Cruises telah dipilih sebagai terminal pelayaran utama. Pakej Fly & Cruise yang ditawarkan oleh TUI UK LTD telah memberi peluang kepada pelancong terutama dari UK dan pelancong dari negara-negara Eropah untuk datang dan menikmati keunikan Langkawi dan destinasi pelancongan lain di Asia Tenggara, menerusi penerbangan terus dari UK dan pelancongan pelayaran di masa yang sama. Pakej sebegini menjanjikan pengalaman yang menarik lagi mempersonakan serta memberikan keselesaan melalui sea mless travel.

Langkawi juga bakal mempunyai jaringan kemudahsampaian yang lebih baik melalui pakej Fly & Cruise yang disediakan oleh TUI UK LTD. Terdapat tiga (3) penerbangan sewa khas yang dijadualkan berlepas ke Langkawi dari tiga (3) bandar utama di United Kingdom (UK) iaitu Birmingham, Gatwick dan Manchester. Penerbangan pertama akan tiba pada 20 Disember 2018 pada jam 8.55 pagi, penerbangan kedua pula akan tiba pada hari yang sama pada jam 2.45 petang dan penerbangan terakhir pada 21 Disember 2018 jam 11.05 pagi. Semua penumpang penerbangan akan menaiki kapal pelayaran Marella Discovery dan bermalam di Langkawi, sebelum berlepas ke Phuket dan destinasi lain sebelum kembali semula ke Langkawi. Jumlah penumpang untuk pakej Fly & Cruise yang ditawarkan oleh Tui dijangka akan menyumbangkan sekurangkurangnya 7,200 kemasukan pelancong ke Langkawi pada tahun pertama program ini. Program ini dijangka akan teruskan sepanjang percutian musim sejuk pada tahun 2019 - 2020.

MENGENAI LANGKAWI

Dikelilingi pelbagai jenis flora dan fauna, Langkawi merupakan Geopark pertama di rantau ini, yang terkenal dengan pembentukan formasi batuan yang berusia 550 juta tahun. Dengan kepelbagaian tarikan semula jadi seperti hutan hujan tropika, pantai yang indah, hidupan liar dan serangga yang unik, seperti 500 spesies dan sub-spesies rama-rama dan lebih daripada 226 spesies burung. Selain itu, masyarakat tempatan yang mesra dan ramah adalah tarikan utama Naturally Langkawi. Pulau ini juga telah diiktiraf sebagai pulau keempat terbaik di Rantau Asia oleh Conde Nast Traveller's Choice pada tahun 2018.

Pada tahun 2017, Langkawi telah menerima kemasukan pelancong berjumlah 3.67 juta pelancong dengan purata tempoh inap (ALOS) selama 4.31 hari bagi pelancong antarabangsa dan 3.56 hari bagi pelancong domestik. Langkawi merupakan pulau paling utara di pantai Barat Semenanjung Malaysia yang terletak di Laut Andaman. Permata Negeri Kedah di Malaysia ini, terdiri daripada 99 buah pulau dan juga adalah Geopark pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf oleh UNESCO. Langkawi mempunyai penduduk seramai 150,000, orang yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

Industri pelancongan telah menjadi aktiviti ekonomi utama pulau bebas cukai ini dan sekaligus yang telah mengubah sosio ekonomi penduduk di Langkawi.


LAPANGAN TERBANG LANGKAWI

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) yang telah siap dinaiktaraf telah menjadikan Langkawi sebagai tumpuan syarikat penerbangan dari seluruh dunia untuk menjadikan Langkawi sebagai lokasi persinggahan mereka. ini akan menjadikan Langkawi sebagai salah satu destinasi tumpuan kepada para pelancong yang dalam masa yang sama menawarkan kemudahan fasiliti bertaraf dunia. Pada tahun 2017, Langkawi mencatatkan 2.7 juta pergerakan trafik penumpang dengan kenaikan 14.6% penumpang antarabangsa. Sehingga kini hingga November 2018, pergerakan trafik penumpang antarabangsa bertambah sebanyak 31.5% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2017. Perkembangan ini pastinya akan mempermudah pertumbuhan Langkawi. Pada masa ini, terdapat enam (6) syarikat penerbangan yang beroperasi dari LGK ke empat (4) destinasi domestik dan lima (5) destinasi antarabangsa dengan gabungan frekuensi mingguan sebanyak 238.


Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use