Dec 15, 2017

PUTRAJAYA SHANGRI-LA DIJENAMAKAN SEMULA SEBAGAI SALAH SEBUAH HARTANAH PULSE GRANDE HOTEL

Putrajaya 30 November 2017 --- Mulai 1 Januari 2018, Putrajaya Shangri-La akan dikenali sebagai PULSE GRANDE HOTEL Presint 1 Putrajaya, hartanah pertama di bawah jenama Kumpulan PULSE GRANDE HOTEL.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Dato' Badlishah Haji Ahmad, Ketua Eksekutif Kumpulan, Putrajaya Leisures and Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) sewaktu Majlis Pelancaran dan Menandatangani Perjanjian antara PULSE GROUP dan Convention and Exhibition (Putrajaya) Sdn Bhd (Co-X).

Pelancaran ini merupakan satu mercu tanda untuk PULSE GRANDE HOTEL sebagai satu kumpulan dan permulaan aktiviti penjenamaan semula PULSE GRANDE HOTEL Presint 1 Putrajaya (dahulu dikenali sebagai Putrajaya Shangri-La) sebagai hartanah pertama mereka.

Co-X, anak syarikat PULSE Group telah dilantik untuk memberi khidmat kepada pengurusan dan operasi hartanah PULSE GRANDE HOTEL.

Salah satu aktiviti penjenamaan semula termasuklah laman web PULSE GRANDE HOTEL yang baharu di www.pulsegrande.com.my dengan ciri ciri tempahan atas talian yang bersiaran langsung mulai hari ini.

Sempena meraikan pelancaran ini, PULSE GRANDE HOTEL Presint 1 menawarkan 1,000 buah bilik Deluxe Hillview dengan harga promosi RM200 nett, sedia ditempah antara 30 November 2017 hingga 1 Januari 2018 untuk penginapan antara 1 Januari hingga 30 Jun 2018. Tempahan hanya boleh dibuat melalui laman web www.pulsegrande.com.my menggunakan kod promosi istimewa ‘PG200’ yang perlu dimasukkan ketika membuat tempahan.

Pada majlis yang sama, PULSE GRANDE HOTEL mengukuhkan pendirian polisi mereka membenarkan kakitangan wanita yang berhijab untuk bertugas di kaunter hadapan hotel, menjadikan ia sebagai Hotel Bertaraf Lima Bintang yang pertama di Putrajaya melaksanakannya.

Menurut Badlishah; " Kami menentang sebarang diskriminasi agama, bangsa dan pemakaian di kalangan kakitangan dan polisi ini akan diteruskan".

"Ini adalah sejajar dengan kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia agar pengendali hotel di Malaysia menghentikan semua dasar diskriminasi yang dikenakan ke atas kakitangan mereka, terutama yang bekerja di kaunter hadapan", tambah beliau.

Majlis ini telah disempurna dan disaksikan oleh Datuk Rashidi Abdullah, Ketua Setiausaha Utama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, yang diwakili Menterinya.

_____________________________________________________________________________________________________________________

PULSE GRANDE HOTEL Presint 1 Putrajaya atau dahulu dikenali sebagai Putrajaya Shangri-La dimiliki oleh Putrajaya Leisures dan Services Group Sdn Bhd (PULSE Group), yang sebelum ini dikenali sebagai PJ Hotels and Resorts Sdn Bhd. Hotel in mula beroperasi pada 2003 dan kini sedang menjalani penjenamaan semula yang komprehensif bagi mengukuhkan lagi kewujudan pasarannya.

PULSE GRANDE HOTEL Presint 1 Putrajaya pada masa ini menawarkan 118 buah bilik tamu dilengkapi katil bersaiz 'king' atau 'queen', penghawa dingin kawalan individu, akses internet berkelajuan tinggi, perabot yang serasi dan balkoni peribadi. Bilik bankuet dan bilik mesyuarat di hotel ini boleh menampung sehingga 426 tetamu pada satu masa. Palm Hill Cafe, restoran utama di PULSE GRANDE HOTEL Presint 1 Putrajaya yang memiliki sijil Halal, menyajikan masakan Malaysia dan antarabangsa dengan jumlah kapasiti 136 orang tetamu.

Convention and Exhibition (Putrajaya) Sdn Bhd (Co-X), anak syarikat PULSE Group telah dilantik untuk memberi khidmat kepada pengurusan dan operasi hartanah PULSE Grande Hotel.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media ini, sila hubungi:

Puan Rodziah Salleh
Pengarah, Penjualan & Pemasaran
Pulse Grande Hotels Presint 1 Putrajaya
Tel: 60(3) 8887 8888 ext 6988


Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use