Mar 6, 2009

Pengisytiharan Lumut Sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan Dan Maritim Bersempena Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Dymm Seri Paduka Baginda Sultan Perak

24 APRIL 2009

Lumut merupakan sebuah bandar kecil yang memiliki anggaran penduduk seramai 31,880 orang. Bandar yang terletak di daerah Manjung negeri Perak, Malaysia pada kedudukan 84 km selatan dari Ipoh dan 12 km dari bandar Sitiawan ini merupakan pintu masuk ke Pulau Pangkor. Kini, Jeti Lumut menjadi penyambung kepada pelbagai persisiran pantai dan pulau-pulau indah yang berdekatan. Suatu ketika dahulu, pantai di situ dipenuhi banyak lumut menyebabkan penduduk tempatan menamakan kawasan tersebut sebagai ’Lumut’. Bandar Lumut boleh dijadikan sebagai landasan untuk para pengunjung menjelajah Pulau Pangkor dan sekeliling tanah besar.

Terdapat Pusat Penerangan Pelancongan, pelbagai kedai, restoran, bank dan beberapa buah hotel di sepanjang jalan utama bandar Lumut. Di sini juga terdapat pelbagai hotel dan restoran-restoran ala barat yang popular di kalangan pelancong asing seperti ROCKAFELLAS dan JOOK. Sekilas pandang, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di bandar Lumut ini selain daripada membeli belah barangan cenderamata dan snek tradisional yang diperbuat daripada ikan dan sotong atau menikmati hidangan di restoran makanan tempatan mahu pun barat. Namun begitu, pengisytiharan bandar Lumut sebagai bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim akan mengubah persepsi tersebut. Lumut merupakan sebuah bandar pelabuhan dan menempatkan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia yang terbesar di Malaysia. Sebelum menjadi pusat penempatan bagi Tentera Laut Diraja Malaysia, bandar ini kurang dikenali dan merupakan lokasi memancing bagi para penduduk tempatan.

Kini bandar Lumut telah berubah menjadi bandar yang hidup, meriah dan sibuk sejak bertapaknya Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di situ hampir tiga dekad yang lalu. Bandar Lumut dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia saling menyumbang kepada kepesatan pembangunan bandar ini. Aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan maritim dan perniagaan berskala rendah serta sederhana terus berkembang dan telah mengubah bandar kecil ini menjadi sebuah bandar yang pesat membangun dan dinamik.

Pengisytiharan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim akan berlangsung pada 24 April 2009. Ini merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk menghargai sumbangan Bandar Lumut dan Pangkalan Tentera Laut dalam pengembangan aktiviti-aktiviti maritim di negara ini selaras dengan status Malaysia sebagai sebuah Negara Maritim. Ia juga adalah bersempena dengan sambutan Jubli Perak pemerintahan DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Azlan Shah di negeri Perak untuk yang ke-25 tahun. Pengisytiharan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti-aktiviti yang telah disusun mengikut rancangan sepanjang tahun ini untuk menyambut pemerintahan takhta DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Perak. DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Azlan Shah merupakan lambang kedaulatan dalam sejarah pemerintahan beraja Malaysia setelah menaiki takhta pemerintahan sebagai Sultan Perak yang ke-34 pada 3 Februari 1984. DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Perak secara peribadi telah berkenan untuk mengisytiharkan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut, Pelancongan dan Maritim. DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Selangor yang merupakan Kapten Kehormat Tentera Laut Diraja Malaysia akan turut sama mencemar duli menghadiri acara bersejarah ini.

Acara ini akan menjadi lebih gemilang dan penuh bersejarah kerana Tentera Laut Diraja Malaysia akan turut menyambut Jubli Intan secara rasminya pada 27 April 2009. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1934. Pengisytiharan Lumut sebagai Bandar Tentera Laut adalah salah satu acara kemuncak sambutan Jubli Intan selain daripada aktiviti-aktiviti lain yang akan dijalankan sepanjang tahun. Pertunjukan hebat daripada Tentera Laut Diraja Malaysia ini akan berlangsung pada 23 dan 24 April 2009. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuklah pameran maritim, demonstrasi menyelamat, perarakan dan aktiviti kanak-kanak yang merupakan sebahagian daripada daya tarikan untuk menarik penyertaan seisi keluarga. Pengisytiharan sebenar dijadualkan berlangsung pada 24 April 2009. Kesemua aktiviti yang dipakejkan bersama ini menjanjikan satu acara yang penuh dengan tradisi ketenteraan laut. Orang ramai berpeluang melihat sendiri dan merasai keseronokan, keriangan dan kemeriahan suasana karnival bersempena pengisytiharan tersebut. Bandar Lumut sudah pasti akan menjadi pusat tarikan pelancongan bagi penduduk tempatan dan pelancong asing ketika berlangsungnya acara ini. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama melibatkan diri dalam acara yang penuh bersejarah ini.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi :-
Leftenan Komander Noorlida Bte Rahman
TLDM (Pegawai Perhubungan Raya Markas Armada)
Tel: 05-681 8503 (Pejabat) atau 012-500 6376 (HP)

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use