Mar 13, 2020

MALAYSIA TRAVEL FAIR GALAKKAN PROMOSI CUTI-CUTI MALAYSIA

13 Mac 2020, Kuala Lumpur – Malaysia Travel Fair yang dirasmikan pembukaannya hari ini oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) terus mendapat sambutan yang sangat baik dari pengunjung. Sehingga jam 12 tengahari tadi jumlah pengunjung telah mencapai 5,000 orang.

#MYcutiMalaysia yang diperkenalkan sempena Malaysia Travel Fair kali ini, menumpukan percutian domestik telah mendapat sokongan yang padu dari Tourism Malaysia yang juga rakan strategik penganjuran Malaysia Travel Fair. Pelbagai aktiviti menarik yang ditonjolkan oleh Tourism Malaysia sepanjang tiga hari penganjuran ekspo pelancongan terbesar ini. Tourism Malaysia sebagai pempamer terbesar dengan membawa 60 pemain industri pelancongan yang terdiri daripada para pengusaha pelancongan, pengusaha produk dan hotel dari setiap negeri. Tourism Malaysia juga mengetengahkan pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan kebudayaan Malaysia sepanjang tiga hari acara ini diadakan. Pastinya produk-produk pelancongan Cuti-cuti Malaysia dengan tawaran termurah ditawarkan di Malaysia Travel Fair ini. Kerjasama erat antara Malaysia Travel Fair bersama Tourism Malaysia ini tepat pada masanya untuk mempromosikan pelancongan domestik secara agresif memandangkan COVID-19 di Malaysia masih terkawal.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang membuka pavilion Muzium PDRM pula mempamerkan bahan sejarah yang berkaitan dengan pengorbanan anggota PDRM didalam menjamin keselamatan negara. Tidak ketinggalan, PDRM juga mengadakan pertunjukan pentas yang menarik untuk para pengunjung Malaysia Travel Fair kali ini. Yang paling dinantikan adalah keterlibatan unit trafik PDRM dengan menawarkan diskaun saman sehingga 50% khusus kepada pengunjung Malaysia Travel Fair sahaja.

Pihak sekreteriat Malaysia Travel Fair dan World Trade Centre, Kuala Lumpur begitu serius didalam memastikan keadaan sepanjang Malaysia Travel Fair ini terjaga dengan menyediakan ‘sanitizer’ sekitar tapak pameran dan menggunakan thermal scanner kepada setiap pengunjung. Papan tanda peringatan penjagaan kebersihan diletakkan disekitar dewan pameran bagi mengingatkan pengunjung untuk sentiasa berhati-hati dengan penularan COVID-19.

Kami juga ingin mewar-warkan kepada semua rakyat Malaysia jangan lepaskan peluang yang disediakan oleh kerajaan dengan memberikan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan kepada mereka yang membeli pakej pelancongan dalam negara sepanjang Malaysia Travel Fair ini.

Kini anda mempunyai 1001 sebab untuk datang ke Malaysia Travel Fair. Pastikan dari 13 hingga 15 Mac 2020 ini akan berkampung di World Trade Centre (PWTC) bersama keluarga dan rakan anda.

Sekian, terima kasih.

Datuk Mohd Khalid Harun
CEO, Malaysia Travel Fair

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use