May 31, 2017

IFTAR@KL 2017 SEMARAKKAN BULAN RAMADAN DI IBU KOTA

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Berbuka puasa sambil menikmati keindahan kota Kuala Lumpur dalam remang senja telah menarik kehadiran pengujung tempatan dan antarabangsa sejak ia dilaksanakan tiga tahun yang lepas yang pada mulanya dilaksanakan 2012 – 2014 menerusi program Festival Ramadan dan dijenamakan semula Iftar@KL pada 2015. Jumlah khalayak Festival Ramadan daripada tahun 2012 hinggalah pada tahun 2014 dengan jumlah khalayak tempatan dan antarabangsa berjumlah 65,380 orang waktu itu. Bermula pada tahun 2015 peningkatan khalayak program Iftar@KL meningkat sehingga 82,650 orang terdiri dari khalayak domestik dan antarabangsa dengan kehadiran pelancong daripada negara Sepanyol, England, Jerman, Sweden, UAE, Iran, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Iftar@KL 2016 telah berjaya menarik kehadiran khalayak keseluruhannya seramai 17,250,600 orang khalayak merangkumi khalayak di lokasi, khalayak media, paparan blog dan media sosial oleh para blogger yang menulis tentang Iftar@KL 2016. Manakala kehadiran pelancong tempatan berjumlah 66,080 orang manakala seramai 16,520 orang kehadiran pelancong luar negara yang terdiri dari pelancong timur tengah, negara Asean, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat serta Perancis.

Iftar@KL 2017 akan berlangsung di bulan Ramadan 1438H pada tarikh 3&4, 10&11, 17&18 Jun 2017 (Setiap Sabtu dan Ahad) di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad). Beberapa penambahbaikan penganjuran akan di buat oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam usaha kita membawa Iftar@KL 2017 bagi menjadikan bulan Ramadan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda serta memupuk nilai-nilai murni melalui penganjuran aktiviti malah JKKN berusaha membawa Iftar@KL 2017 sebagai satu program keperluan pelancongan secara islamik dan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni dan Budaya di peringkat Antarabangsa.

Selain itu, ia bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan-amalan kebajikan di samping mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum. Dengan adanya program seumpama ini, umat Islam akan berebut-rebut untuk mengejar ganjaran dan kenikmatan bulan yang penuh barokah.

Kelainan pengisian IFTAR@Kuala Lumpur pada tahun ini , sebanyak enam belas (16) komponen pengisian aktiviti berbanding empat belas (14) aktiviti pada tahun 2016 yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersama Rakan Pengajuran Bersama (NBOS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta pelbagai agensi iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Jabatan Warisan Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Masjid Jamek Kampong Bharu, Alam Flora, Penaja seperti Yeo’s, F&N, Julie’s dan Sukarelawan Budaya JKKN serta Voluntourism di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan iaitu Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk, Pameran Pelancongan Islam, Tadarus Al-quran, Tazkirah Ramadan, Kapsul Ramadan, Sukarelawan, Klinik Tahsin Al-Quran, Jualan Food Truck, Kaunter Zakat, Majlis Berbuka Puasa (Iftar), Solat Berjemaah (Maghrib, Isyak dan Terawih), Bicara Ramadan (Ramadan Talk), Konsert Ramadan dan Moreh.

Program Iftar@KL 2017 juga telah mendapat kerjasama padu dari PENAJA yang ingin turut serta menyemarakkan Iftar@KL 2017 iaitu Yeo’s, F&N, dan Julie’s.

Program kemuncak Iftar@KL 2017 ini ialah pada 4 Jun 2017 (Ahad) melalui Majlis Berbuka Puasa Perdana dengan menarik kehadiran YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan YBhg. Datin Sri’ Rosmah Mansor yang akan bersama-sama rakyat untuk mengagihkan bubur Lambuk kepada orang ramai, bertadarus Al Quran sekaligus berbuka puasa bersama-sama rakyat. Turut hadir sama ialah YB. Dato’ Seri Mohamed Nazri Bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPK), YB Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan dan YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Pada tahun ini juga, pihak JKKN telah mendapat khidmat Imam bagi Solat Terawih Perdana bersama Syed Mohd Idris Al-Masyrafi, Imam Mekah pada 4 Jun 2017. Melalui program ini juga, akan dihiburkan oleh Kumpulan Nasyid terkenal Tanah air iaitu Kumpulan Hijjaz, UNIC, Raihan dan artis-artis nasyid yang lain manakala penceramah terkenal akan dijemput untuk memeriahkan program sepanjang iftar@KL berlangsung iaitu YBhg. Dato’ Ustazah Norbayah & Ustaz Wan Akasha, Ustaz Haslin Baharim & Che Mat Raja Lawak, PU Mizi, PU Rahmat, Ustaz Kazim Elias dan YBhg. Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.

JKKN ialah sebuah agensi di bawah Kementerian pelancongan dan Kebudayaan yang bukan sahaja menjalankan aktiviti kebudayaan dan kesenian di Malaysia malah menyemarakkan nilai-nilai murni, semangat perpaduan, penyelidikan, kerohanian, dan mengetengahkan majlis-majlis Ilmu yang berlandaskan kecintaan kepada Negara.

Melalui Iftar@KL 2017, bulan Ramadan dijadikan sebagai satu bulan di mana kegiatan kerohanian dan kesenian islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda dalam memupuk nilai-nilai murni terutama masyarakat kota.

Disediakan oleh:

Ezlina Alias
Pengarah
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan
03-2614 8200 / 012-2873461

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use