YB MENTERI PELANCONGAN MELANCARKAN KEMPEN PENGIKLANAN BERGERAK
Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen hari ini melancarkan kempen pengiklanan bergerak ‘moving billboard’ dan ‘ambient mobile advertising’ yang akan menyokong usaha-usaha promosi sedia ada Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia. Pelancaran tersebut berlangsung di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kempen ini melibatkan dua buah unit trak yang akan bergerak ke seluruh negeri di semenanjung sehingga akhir tahun ini dengan membawakan dua konsep pengiklanan yang berbeza. Sebuah trak berkonsepkan ‘moving billboard’ akan digunakan bagi mempromosikan acara-acara anjuran Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia seperti Citrawarna, Cuti-Cuti 1Malaysia, Pesta Tarian, Fabulous Food, 1Malaysia Green & 1Malaysia Clean dan sebagainya manakala sebuah ‘ambient mobile truck’ yang mampu memuatkan 20 orang pada satu-satu masa akan berfungsi sebagai Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) bergerak untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat pelancongan negara ini.
Menurut YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen, kempen pengiklanan bergerak ini merupakan satu inisiatif Kementerian Pelancongan untuk memperhebat promosi pelancongan domestik sebagai satu usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara sendiri. Kempen ini akan membantu menyebarkan maklumat-maklumat penting yang berkaitan dengan pelbagai acara anjuran Kementerian dan juga Tourism Malaysia terus kepada orang ramai.
Beliau turut berkata bahawa langkah yang mesra rakyat ini bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan terulung khususnya bagi pasaran domestik dan meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai betapa pentingnya industri pelancongan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.
Pelancongan domestik telah mencatatkan peningkatan sebanyak 35.5 peratus iaitu daripada 55.1 juta pelawat pada tahun 2008 kepada 74.7 juta pelawat pada 2009.
Perbelanjaan oleh pelancong domestik yang direkodkan pada tahun 2009 ialah RM25.98 billion, meningkat 23.0% berbanding dengan RM21.11 billion pada 2008.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia, Puan Jahara Baba, Timbalan Pengarah, di 03-26148729 atau emel jahara@tourism.gov.my atau Puan Raja Teena Rosdin,Penolong Pengarah, di 03-2614 8707 atau emel rajateena@tourism.gov.my
_______________________________________________________________________________
Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi & Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 31 Mac 2011
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi tel: 03-26158188; faks: 03-26158299
atau emel: wardatul@tourism.gov.my
Laman Web: www.tourismmalaysia.gov.my