Nov 17, 2021

UMT METERAI KERJASAMA DENGAN TOURISM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 17 November 2021 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi membangunkan program latihan profesional dan akademik serta perkongsian kepakaran termasuk kajian penyelidikan bersama dalam bidang berkaitan pelancongan.

Memorandum itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abdul Ghaffar dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, Prof. Dr. Mohd Shaladdin Muda dan Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia, Encik Saidi Bundan di Pusat Komunikasi Strategik UMT, Putrajaya semalam.

Dengan pemeteraian MoC tersebut, hubungan industri dan akademik antara UMT dan Tourism Malaysia dapat terus diperkukuh dalam sebarang penyertaan aktiviti pelancongan dan komuniti termasuk kesukarelawanan, pendidikan serta potensi kolaborasi yang boleh memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Prof. Dr Mazlan berkata, UMT mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia bagi meningkatkan kualiti serta kecemerlangan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, selari dengan misi universiti yang memfokuskan kepada kajian sains marin serta impak peningkatan sosioekonomi terhadap taraf hidup komuniti.

“Menerusi kerjasama ini, UMT turut dapat memperkasa penawaran pakej pelancongan pendidikan (EduTourism) kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sekali gus berupaya mempromosikan keunikan pelancongan marin di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Hj. Zainuddin berkata, kerjasama dengan UMT telah bermula dengan pertukaran ilmu dan kepakaran menerusi penganjuran program ‘Industry Talk’ dan Program Sangkutan Industri.

“Malahan, kita juga telah melantik UMT sebagai wakil tetap bagi pasukan petugas (task force) Tourism Malaysia Marketing Plan 2022-2026 untuk membantu merangka strategi pemasaran pelancongan serta memberikan idea bernas khususnya dari sudut pandang akademik,” katanya.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Dr. Zaliha Zainuddin
Ketua Program Pelancongan
Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT&
zaliha.z@umt.edu.my
Tel: +60 6683 489

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use