Aug 17, 2020

UiTM TANDATANGANI MEMORANDUM KERJASAMA DENGAN TOURISM MALAYSIA

SHAH ALAM, 17 OGOS 2020: Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Tourism Malaysia hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memperkukuh kerjasama secara rasmi yang sedia terjalin antara kedua-dua pihak bertempat di Hotel UiTM Shah Alam. Memorandum itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) UiTM, Prof. Dr Mohd Salehuddin Mohd Zahari dan Pengarah Bahagian Sumber Manusia Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris.

Pemeteraian MOC itu antara lain bakal membentuk sinergi kerjasama yang produktif untuk kedua-dua pihak khususnya dalam menangani jurang pengetahuan dan kemahiran antara industri dan akademik.

“Kerjasama strategik ini diperlukan bagi memperkukuh hubungan industri untuk memastikan UiTM kekal berdaya saing melalui perkongsian pengetahuan dalam sektor pelancongan semasa selain merealisasi perancangan strategik UiTM untuk muncul sebagai universiti terkenal di peringkat global menjelang 2025,” kata Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim.

Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim turut merakamkan penghargaan atas kerjasama rasmi yang dijalinkan, justeru berharap dapat membantu Tourism Malaysia dari segi perkongsian pengetahuan, kemahiran, penyelidikan serta penyediaan tenaga kerja.

Sementara itu, Datuk Musa Yusof berkata, adalah penting bagi organisasi pelancongan nasional seperti Tourism Malaysia untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak industri termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) dalam mencari formula baharu bagi menjamin kelestarian sektor pelancongan yang kini turut berdepan cabaran pendigitalan pemasaran mengikut segmen pelancong yang disasarkan.

“Kerjasama ini bukan sahaja mampu melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, malah berupaya memanfaatkan perkembangan organisasi kedua-dua pihak serta memangkin ke arah amalan terbaik organisasi pembelajaran (learning organization),” katanya.

Pemeteraian MoC tersebut turut memfokuskan kepada pertukaran kepakaran dalam industri pelancongan, mewujudkan peluang penganjuran aktiviti atau projek yang memberikan manfaat bersama meliputi persidangan, kursus-kursus jangka pendek serta isu penyelidikan berkaitan pelancongan selain kedua-dua organisasi saling mempromosi maklumat dan aktiviti berkaitan dalam ruang lingkup kerjasama di laman sesawang masing-masing.

TAMAT

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) UiTM
Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Mohd Hanafiah
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri
hafizhanafiah@uitm.edu.my

Unit Media Tourism Malaysia
Muadz Samat
Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use