Jan 6, 2021

TOURISM MALAYSIA UMUM PENEMPATAN BAHARU KUMPULAN PENGURUSAN

PUTRAJAYA, 5 JANUARI 2021 – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) hari ini mengumumkan beberapa pertukaran penempatan bagi Pengarah Kanan, Pengarah dan Timbalan Pengarah Kanan dalam usaha untuk memperkukuh struktur organisasi bagi mencapai sasaran strategiknya pada tahun ini dalam merancakkan kembali sektor pelancongan.

Dato’ Zainuddin Abdul Wahab yang sebelum ini merupakan Pengarah Kanan di Bahagian Perancangan Strategik, telah dilantik sebagai Pengarah Kanan Pengurusan dan menanggung kerja Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) berkuat kuasa 4 Januari 2021.

Sementara itu, Encik Iskandar Mirza Mohd Yusof mengambil alih tugas sebagai Pengarah Kanan di Bahagian Perancangan Strategik manakala Datin Rafidah Idris dilantik sebagai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat yang baharu.

Selain itu, Encik Mohamed Amin Yahya dan Encik Ahmad Johanif Mohd Ali yang merupakan Timbalan Pengarah Kanan, masing-masing menanggung kerja sebagai Pengarah di Bahagian Sumber Manusia dan Bahagian Pembangunan Pakej, berkuat kuasa tarikh sama.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Zulkifly Md Said berkata, pihaknya akan terus meningkatkan aktiviti promosi pelancongan domestik menerusi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan bagi tahun 2021.

“Biarpun pelancongan domestik tidak dapat mengambil alih ketibaan pelancong antarabangsa buat masa ini, pelancongan domestik tetap memainkan peranan sebagai penyumbang utama kepada kelangsungan ekonomi negara,” katanya.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 26.1 juta pelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Muadz Samat
Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Khairul Abidin Nuar

Penolong Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat

khairul@tourism.gov.my

Tel: +603 8891 8760

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use