Oct 3, 2020

TOURISM MALAYSIA SURFCASTING TOUR 2020 KEMBALI MERIAHKAN PERSISIRAN PANTAI

MERSING, 3 OKTOBER 2020 – Hadiah wang tunai RM75,500, 50 unit hamper dan 10 unit barangan aktiviti luar jenama Igloo adalah antara hadiah menarik yang ditawarkan kepada para pemenang pertandingan memancing ‘Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020’ (TMST 2020) yang akan berlangsung semula pada hari ini.

Pertandingan memancing persisiran pantai anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management ini telah menyingkap tirainya pada 15 Mac lalu namun terpaksa ditangguhkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan berikutan pandemik Covid-19.

Setelah berjaya menarik lebih 1,500 penyertaan secara purata pada siri-siri sebelumnya, pertandingan ini merupakan acara memancing terbesar yang pernah diadakan di Malaysia. Selain menceburi niche pelancongan yang popular dengan penduduk tempatan, Tourism Malaysia berharap pertandingan ini dapat menggalakkan rakyat dari setiap negeri untuk menerokai pantai-pantai di seluruh negara sebagai destinasi pelancongan, di samping menjana ekonomi hiliran daripada aktiviti memancing, seperti jualan umpan dan peralatan memancing serta menyemarakkan semula perniagaan tempatan.

Siri kedua TMST2020 akan berlangsung hari ini di Pantai Sri Lalang Laut, Mersing, Johor dengan pematuhan kepada SOP yang disediakan. Acara ini juga telah mendapat kebenaran untuk diteruskan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan SOP yang berkaitan.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM35,000, manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang RM10,000 dan RM5,000. Hadiah wang tunai turut disediakan kepada pemenang sehingga tempat ke-80.

Lokasi seterusnya untuk siri ini ialah di Pantai Sepat, Kuantan, Pahang yang dijangka akan diadakan pada 18 Oktober, diikuti Pantai Remis, Kuala Selangor pada 6 Disember dan siri terakhir di Pantai Puteri, Melaka pada 27 Disember 2020.

Yuran penyertaan adalah RM100 untuk satu joran bagi peserta awam manakala peserta kelainan upaya (OKU) diberi diskaun 50% (RM50), dengan setiap peserta dibenarkan mendaftarmaksimum 2 joran sahaja.

Pertandingan adalah berkonsepkan “Sapu Bersih” di mana seorang peserta layak memenangi lebih daripada satu hadiah yang ditawarkan. Penganjur juga menawarkan sehelai kemeja-T untuk 1,000 peserta yang terawal mengesahkan penyertaan.

Penganjuran acara ini akan mengikut SOP pertandingan yang ketat seperti yang digariskan di www.wakjalitour.my. Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan butiran penuh dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang pertandingan.

TAMAT

Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA atau TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada tahun 2019, Malaysia telah mencatatkan ketibaan seramai 26.1 jutapelancong asing yang menyumbang kepada pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Media Unit
Muadz Samat
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Wakjali Event Management
Md Zali Kasran Tel: 013-3113911
Amir Ali Mohamad Tel: 019-6203040
Hanifah Salam Tel: 012-2141401
Rosli Chik Mat Tel: 013-3838655
wakjalievent@yahoo.com, wakjalievent@gmail.com

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use