TOURISM MALAYSIA SASAR BAWA SEKTOR BELI-BELAH KE TAHAP LEBIH TINGGI
PETALING JAYA, 5 Mac 2015 – Tourism Malaysia telah memberi taklimat terkini kepada para pengusaha industri runcit negara mengenai pelbagai inisiatif yang telah diambil oleh organisasi tersebut untuk mempromosikan Malaysia sebagai salah satu destinasi beli-belah terbaik dunia. Sesi pembentangan anjuran Sekretariat Shopping Malaysia yang merupakan cabang promosi sektor beli-belah Tourism Malaysia ini telah diadakan di The Royal Chulan Damansara Hotel, Mutiara Damansara, hari ini.
Ia juga bertindak sebagai platform kepada para peserta untuk bertukar-tukar maklumat mengenai prestasi, aliran terkini dan tinjauan masa hadapan sektor beli-belah. Dialog antara sektor awam dan swasta yang melibatkan wakil-wakil industri runcit dan pelbagai badan kerajaan ini telah memudahkan mereka untuk berkongsi idea, memahami isu dan keraguan, serta mencadangkan penyelesaian dan strategi yang dapat membantu mempertingkatkan lagi sektor beli-belah ke tahap pencapaian yang lebih tinggi.
Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia turut memberikan penerangan mengenai Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015 pada acara tersebut. MyFest yang merupakan kempen pelancongan nasional terkini dengan tema “Endless Celebrations”, memaparkan kemeriahan sambutan perayaan di Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Puan Chong Yoke Har telah menyampaikan ucaptama dalam sesi pembentangan tersebut. Tetamu-tetamu yang hadir termasuklah wakil-wakil Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC), Persatuan Peruncit Batu Road (BARRA), Persatuan Peruncit Malaysia (PPM), dan Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK). Turut hadir ialah wakil-wakil dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Malaysia Airports Holdings Berhad, dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri.
Sektor beli-belah Malaysia merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan negara dengan sumbangan sebanyak RM19.8 bilion atau 30.2 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM65.4 bilion pada 2013. Aktiviti membeli-belah juga terus kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi dalam perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan yang hanya dibezakan dengan 0.01 peratus.
“Jika kita terus berusaha lebih keras dan merangka strategi dengan lebih baik, sektor beli-belah mampu mengatasi sektor penginapan sebagai penyumbang nombor satu pendapatan pelancongan,” kata Puan Chong. Walaupun ia meletakkan cabaran kepada semua pihak yang terlibat dalam sektor beli-belah, Puan Chong percaya bahawa matlamat tersebut tidak mustahil untuk dicapai. Beliau menyeru kepada para pengusaha industri runcit agar sama-sama berusaha untuk mencapai pertumbuhan yang lebih sihat bagi sektor ini. Beliau juga mengakui yang sokongan berterusan pihak swasta terhadap pelbagai usaha promosi Tourism Malaysia untuk mempertingkatkan sektor beli-belah telah pun menerima ganjaran dan pengiktirafan.
Media antarabangsa berwibawa, CNN, telah memilih Kuala Lumpur sebagai salah satu destinasi beli-belah terbaik dunia. Kuala Lumpur menduduki tangga keempat dalam senarai Bandar raya Beli-belah Terbaik Dunia CNN untuk dua tahun berturut-turut (2012 dan 2013). Ini meletakkan Malaysia dalam kelompok bandar raya beli-belah ternama dunia seperti New York, Tokyo dan London. Kuala Lumpur juga telah dipilih oleh Global Shoppers Index sebagai Destinasi Beli-belah ke-2 Terbaik di Asia Pasifik, yang menjadikan ibu negara kita sebagai destinasi beli-belah terbaik di Asia Tenggara dan antara yang terunggul di Asia.
“Penglibatan aktif anda telah membolehkan sektor beli-belah Malaysia mengalami pertumbuhan yang berlipat-ganda. Sejak tiga dekad lalu, lebih daripada 350 pusat beli-belah telah dibuka di seluruh negara,” ujar Puan Chong ketika mengucapkan tahniah kepada para pengusaha industri atas pencapaian tersebut.
Puan Chong juga menggesa para penggiat industri untuk membantu menjayakan kempen Jualan 1Malaysia Grand Prix 2015. Acara jualan yang akan berlangsung dari 14 Mac hingga 5 April ini akan menambahkan lagi kemeriahan perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 27 hingga 29 Mac.
Jualan 1Malaysia Grand Prix adalah satu daripada tiga kempen membeli-belah utama anjuran Tourism Malaysia. Dua kempen membeli-belah yang lain adalah Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia. Tahun ini, Karnival Jualan Mega 1Malaysia akan diadakan dari 27 Jun hingga 31 Ogos, manakala Jualan Akhir Tahun 1Malaysia akan berlangsung dari 14 November hingga 3 Januari tahun hadapan. Ketiga-tiga jualan tahunan tersebut telah membawa manfaat besar kepada sektor peruncitan tempatan dan meningkatkan perbelanjaan pelancong di dalam negara.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:-
Puan Salinda Sany,
Penolong Pengarah Kanan, Sekretariat Shopping Malaysia
Tel: + 603-8891 8531
Emel: salinda@tourism.gov.my
SEPINTAS LALU:
• Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia pada 2013 mencecah 25.7 juta, meningkat sebanyak 2.7% berbanding 25.0 juta pada 2012.
• Pendapatan pelancongan pada tahun 2013 adalah sebanyak RM65.4 bilion, meningkat 8.1% peratus berbanding RM60.6 bilion yang diperolehi pada 2012.
• Pelancong ke Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM19.8 bilion untuk membeli-belah, pada 2013, meningkat 6.3% berbanding RM18.6 bilion yang dibelanjakan pada 2012.
• Sektor peruncitan menyumbang 30.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan pelancongan pada 2013 berbanding 30.7 peratus pada 2012.
• Aktiviti membeli-belah menjadi penyumbang kedua tertinggi dalam jumlah keseluruhan perbelanjaan pelancong selepas sektor penginapan.
• MyFest 2015 dijangka akan membantu Malaysia mencapai sasaran ketibaan pelancong seramai 29.4 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM89 bilion pada 2015, sekali gus membantu untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan di bawah Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia iaitu ketibaan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di www.tourismmalaysia.gov.my
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my