Mar 13, 2015

TOURISM MALAYSIA SABAH PROMOSIKAN "BEST OF BORNEO HOLIDAY PACKAGES"

KUALA LUMPUR, 13 Mac 2015 – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ir. Hj. Idris Hj. Haron telah melancarkan risalah “Best of Borneo Holiday Packages” di Pameran MATTA March 2015 yang sedang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini. Risalah tersebut telah diterbitkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama MATTA Sabah Chapter.

Inisiatif ini diambil untuk mempromosikan Sabah menerusi pelbagai tawaran pakej percutian yang berbaloi dengan harga. Ia juga adalah sejajar dengan sambutan Tahun Festival Malaysia (MyFest) 2015.

Risalah yang mengandungi 36 pakej percutian dengan tawaran harga yang menarik ini telah dibangunkan dengan kerjasama 18 pengusaha pelancongan di Sabah, serta menawarkan pelbagai tempat percutian yang unik di negeri tersebut.

Pakej-pakej tersebut dikategorikan mengikut pelbagai segmen bagi memudahkan para pelancong untuk mengenal pasti dan memilih destinasi percutian berdasarkan minat mereka. Antara  segmen tersebut termasuklah Eco Nature & Wildlife, Island Getaway, Golfing, Culture & Heritage, Food Trails, Two Wheel, Homestay, dan Parks & Gardens, serta pelancongan minat khas seperti aktiviti memancing, aktiviti berbasikal bukit, dan sebagainya.

Pakej Jejak Makanan “Let’s Main Masak Masak with Hajah Limah”, umpamanya, memberi peluang kepada para pelancong untuk belajar memasak masakan Malaysia dengan menggunakan pelbagai bahan dan herba. Pakej ini berharga RM367 seorang dengan minimum empat orang.

Satu lagi pakej menarik yang ditawarkan ialah ‘Mystical Land below the Wind’ yang berkisar kepada kepercayaan pada kuasa ghaib, upacara kuno dan alam roh yang diamalkan oleh kumpulan-kumpulan etnik di Sabah. Pakej 3Hari 2Malam ini berharga RM927 untuk seorang dan menjanjikan pengalaman yang menyeramkan.

Pakej “A Journey Thru My Lense” ini pula adalah sangat sesuai untuk para penggemar fotografi dan alam semula jadi. Dengan harga RM1,197 seorang (termasuk makan minum dan “river cruise”), para peserta akan dibimbing oleh jurugambar profesional untuk mendekati pelbagai hidupan liar yag eksotik di Kinabatangan seperti gajah Pygmy Borneo, orangutan, monyet “proboscis”, dan lain-lain.

“Pakej Percutian Best of Borneo” ini telah dibangunkan sejajar dengan usaha Tourism Malaysia Sabah untuk meningkatkan ketibaan pelancong ke negeri itu, sekali gus menunjukkan bahawa Sabah tetap menjadi destinasi yang selamat untuk dikunjungi oleh para pelancong.

Kesemua pakej percutian ini sah digunakan sehingga 31 Disember 2015. Kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan pakej tersebut, sila hubungi agen-agen pelancongan yang terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut. Tourism Malaysia Sabah akan turut mempromosikan pakej percutian tersebut melalui laman web, sosial media, ledakan emel dan pengedaran risalah di pejabat-pejabat Tourism Malaysia di dalam negeri dan di luar negara.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi (Encik Malvin Marcus, Pegawai Pelancongan, di talian +088-248698/211732 atau emel malvin@tourism.gov.my

 -TAMAT- 
 
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di www.tourismmalaysia.gov.my

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia telah menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel:
azizahaziz@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my

 

 

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use