TOURISM MALAYSIA RAIKAN PARA PESERTA FORUM ANTARABANGSA BERTAJUK "THE CREATION OF GLOBAL
SIARAN MEDIA
EMBARGO SEHINGGA JAM 8 MALAM, 20 OKTOBER 2010
TOURISM MALAYSIA RAIKAN PARA PESERTA FORUM ANTARABANGSA BERTAJUK “THE CREATION OF GLOBAL CITIZEN”
YB Dato’ Dr. James Dawos Mamit, Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia meraikan 80 peserta forum
antarabangsa bertajuk “The Creation of Global Citizen: Media Liberalization and the New Political Realities” pada satu Majlis Makan Malam di Restoran Teater Saloma, Ampang pada 20 Oktober 2010.
Seramai 66 perwakilan asing dari 21 buah negara yang terdiri dari negara Bangladesh, Bosnia & Herzegovina, China, Cuba, Indonesia, Iran, Jepun, Kanada, Kemboja, Korea Utara, Korea Selatan, Laos, Oman, Singapura, Sri Lanka, Sudan, Syria, Timor-Leste, Turki, Vietnam dan Zimbabwe menghadiri majlis makan malam tersebut. Tiga perwakilan yang hadir adalah bertaraf Menteri dan terdiri daripada H.E. Huang XiangYao (China), Agio Pereira (Timor-Leste) dan Hon. W.K. Shamu (Zimbabwe).
Para tetamu yang hadir dipertontonkan dengan tayangan video Malaysia Truly Asia bagi memperkenalkan mereka kepada destinasi-destinasi menarik yang terdapat di Malaysia.YB Dato’ Dr. James dalam ucapannya berkata bahawa pembangunan ekonomi Malaysia sedang berada pada landasan yang kukuh. “Bagi sebuah negara yang masih muda seperti Malaysia, ekonominya telah berkembang dengan pesat tetapi pada masa yang sama ia mampu mengekalkan keharmonian hidup masyarakatnya yang berbilang bangsa serta agama,”
katanya lagi.
Menurut beliau, industri pelancongan telah memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan
ekonomi negara dan merupakan penyumbang kedua terbesar dalam pendapatan tukaran mata wang asing negara selepas industri pembuatan. “Industri pelancongan bukan sahaja menjana pendapatan ekonomi negara tetapi juga turut menjulang nama negara di persada dunia. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia, jumlah kedatangan pelancong asing ke Malaysia bagi tahun 2009 ialah seramai 23.6 juta orang dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM53.37 bilion,” sambung beliau.
YB Dato’ Dr. James juga berkata bahawa kerajaan juga sentiasa berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan pelbagai budaya, tradisi dan warisan di samping menjadikan Malaysia tumpuan bagi pelancong mewah.
Beliau juga berharap bahawa para peserta forum akan dapat meluangkan masa untuk menikmati keindahan khazanah alam semulajadi dan keunikan budaya penduduk negara ini yang pelbagai.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Yazlina Yahya, Penolong Pengarah, Unit Perhubungan Industri,
Bahagian Komunikasi dan Publisiti di talian 03-2615 8188 atau emel yazlina@tourism.gov.my.
Dikeluarkan oleh: Bahagian Komunikasi & Publisiti, Tourism Malaysia
Tarikh: 20 Oktober 2010
+603- 2615 8188; Faks: +603 26158299 or
Emel: sitirahmah@tourism.gov.my
Laman sesawang: www.tourism.gov.my