Sep 19, 2019

TOURISM MALAYSIA RAIH SOKONGAN PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN SABAH DAN MASWINGS UNTUK KEMPEN MELAWAT MALAYSIA 2020


KOTA KINABALU, SABAH, 19 SEPTEMBER 2019: Tourism Malaysia telah memperkenalkan penerbitan edisi khas yang bertajuk "Best of Sabah Holiday Packages 2019/2020" untuk menyokong kempen Melawat Malaysia 2020 (Visit Malaysia 2020) dan mempromosikan tarikan yang indah dan menarik di Sabah kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Usaha ini adalah hasil kerjasama dengan Sabah Tourism Board, MATTA Sabah Chapter, Persatuan Pelancongan Sabah, Persatuan Homestay Sabah dan syarikat-syarikat penerbangan di Sabah.

Penerbitan itu telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Datuk Mohamaddin bin Ketapi. Acara itu juga disaksikan oleh penggiat industri pelancongan utama dari seluruh Malaysia.

Dengan menawarkan sebanyak 135 pakej percutian oleh 76 agensi pelancongan, pengusaha produk pelancongan, homestay dan juga syarikat-syarikat penerbangan di Sabah, penerbitan ini memberikan idea percutian baharu di Sabah serta mempromosikan tarikan pelancong yang kurang dikenali di negeri ini. Pakej percutian yang ditawarkan bukan sahaja mengetengahkan destinasi pelancongan di Sabah, tetapi turut memuatkan cadangan aktiviti lasak, kebudayaan dan makanan unik di Sabah.

Penerbitan buku ini adalah usaha yang baik untuk merancakkan lagi promosi kempen Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan seramai 30 juta pelancong antarabangsa dan sebanyak RM100 bilion pendapatan pelancongan.

Kempen ini juga mendapat sokongan tambahan dari syarikat penerbangan MASwings yang bersetuju untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam mempromosikan kempen Melawat Malaysia 2020. Acara hari ini telah menyaksikan perasmian logo Melawat Malaysia 2020 dipamerkan pada pesawat MASwings.

"Best of Sabah Holiday Packages 2019/2020" boleh didapati di laman web Tourism Malaysia untuk dimuat turun. Lawati www.malaysia.travel untuk maklumat lanjut atau ikuti Tourism Malaysia Sabah di laman social Facebook untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan aktiviti promosi di Sabah.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Puan Trecey J Tojuka, Timb. Pengarah, Tourism Malaysia Sabah
Tel: +6088-211732 / 248698
Emel:
tracey@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use