TOURISM MALAYSIA PULAU PINANG ANJUR PROGRAM COUNTDOWN AMAL 2015 UNTUK BANTU MANGSA BANJIR
GEORGE TOWN, 31 Disember 2014 – Tourism Malaysia Pulau Pinang dengan kerjasama pelbagai agensi swasta telah menganjurkan program Countdown Amal 2015 bermula hari ini hingga 9 Januari bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.
Sehubungan dengan itu, Tourism Malaysia Pulau Pinang turut melahirkan rasa simpati terhadap mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri tersebut.
Program yang melibatkan kerjasama PLUS Cawangan N6 (Jambatan Pertama Pulau Pinang), Stesen Petrol SHELL AMN Cawangan Mak Mandin (Butterworth), Syarikat Elang Wah Sdn Bhd (pengendali bas city tour, Penang Hop on Hop Off) dan Stesen radio Pi Mai FM ini telah menjalankan kutipan derma melalui Tabung Kemanusiaan Mangsa Banjir.
Pejabat Tourism Malaysia Pulau Pinang yang beralamat di No 11, Lebuh Pantai, 10300 George Town, bertindak sebagai pusat pengumpulan sumbangan daripada orang ramai. Sumbangan kutipan derma berbentuk wang ringgit atau barangan keperluan akan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui pertubuhan Mercy Malaysia.
Sebagai hebahan kutipan amal Tabung Kemanusian Mangsa Banjir, sumbangan kolateral oleh Tourism Malaysia bersama risalah maklumat kutipan derma telah diedarkan kepada para pengguna Tol Jambatan Pertama Pulau Pinang bermula jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang dan turut diedarkan kepada pembeli-pembeli petrol di Stesen SHELL AMN Mak Mandin (Butterworth) bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang. Program ini turut dijayakan dengan bantuan 10 orang peserta Voluntourism dari UiTM Permatang Pauh.
Syarikat Elang Wah Sdn Bhd, pengusaha bas city tour Penang Hop On Hop Off turut menyumbang usaha dalam hebahan program ini dengan mengedarkan risalah kutipan derma tersebut di dalam bas mereka.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Cik Haryanty Abu Bakar, Timbalan Pengarah, Tourism Malaysia Pulau Pinang di talian 04 261 0058 atau emel haryanty@tourism.gov.my.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2013, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM65.4 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing dan penyumbang keenam terbesar kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
Malaysia sedang menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat pada 2014 dengan tema Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Promosi negara diteruskan dengan penganjuran Tahun Festival Malaysia (MyFest) pada 2015 dengan tema “Endless Celebrations” yang menekankan kepada pelbagai festival yang disambut oleh masyarakat yang berbilang bangsa. Kedua-dua kempen ini menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020, berdasarkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka. Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi:
Unit Perhubungan Media:
Cik Azizah Aziz, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8752
Emel: azizahaziz@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my