Mar 12, 2016

TOURISM MALAYSIA PROMOSIKAN “JOHOR HOLIDAY PACKAGES”

KUALA LUMPUR, 12 Mac 2016 – Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor Datuk Tee Siew Kiong telah melancarkan brosur “Johor Holiday Packages” pada pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Brosur “Johor Holiday Packages” yang diterbitkan oleh Tourism Malaysia ini mengandungi 25 buah pakej percutian yang merangkumi ekopelancongan, lawatan sekitar bandar raya, permainan golf, taman tema, edupelancongan, dan pelancongan minat khas di pelbagai destinasi di Johor, dan ia dibangunkan dengan kerjasama tujuh agensi pelancongan dari negeri tersebut.

Setiap pakej menawarkan aktiviti-aktiviti berlainan bagi memudahkan para pelancong untuk memilih destinasi-destinasi pelancongan berdasarkan minat masing-masing. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuklah melawat Stadium Johor Darul Takzim (JDT) semasa perlawanan berlangsung, maraton taman tema, menginap di Tiram Indah Village di Ulu Tiram, lawatan ke perkampungan Bugis dan Jawa, dan sebagainya.

Contohnya, pakej Stadium JDT menawarkan lawatan ke stadium sambil menyaksikan perlawanan bola sepak bernilai RM30 seorang. Pakej “maraton taman tema” pula menawarkan peluang kepada mereka yang berkeluarga untuk menghabiskan empat hari di pelbagai taman tema seperti Legoland, Angry Bird, Hello Kitty, dan Austin Hill Adventure Park. Pakej yang berharga RM1295 seorang ini turut menawarkan penginapan berserta kenderaan peribadi. Pakej “Homestay 3D/2N” di perkampungan Bugis dan Jawa menjanjikan pengalaman unik daripada segi makanan dan kebudayaannya, dan bernilai RM300 seorang bagi setiap inap desa.

Pakej penginapan 2H1M di Tiram Indah Village pula menawarkan pakej menunggang kuda dengan harganya yang bermula serendah RM60. Ia menawarkan latihan serta pendedahan asas berkuda yang sesuai bagi semua golongan umur.

Penerbitan brosur ini adalah selaras dengan usaha Tourism Malaysia untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Johor.


MATTA FAIR 2016

Sebanyak 110 organisasi telah menyertai MATTA Fair 2016 di bawah payung Tourism Malaysia. Organisasi-organisasi tersebut adalah terdiri daripada 55 pengusaha pelancongan, 33 pengusaha hotel/resort, dan 20 pengusaha produk pelancongan.

Pelbagai pakej pelancongan menarik telah ditawarkan pada pameran tiga hari tersebut bagi meningkatkan jualan pakej ke pelbagai destinasi menarik di seluruh negara. Usaha ini juga adalah selari dengan kempen Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je.

Tourism Malaysia telah mensasarkan jualan sebanyak 17,896 buah pakej, yang dijangka menyumbang nilai jualan sebanyak RM4,653,688, melalui penyertaan dalam MATTA Fair 2016 edisi Mac ini.

Para pembeli pakej pelancongan berpeluang untuk menebus pelbagai hadiah menarik di Tourism Malaysia Pavilion di MATTA Fair.

Pelancongan domestik telah menunjukkan pertumbuhan dua digit daripada segi kedatangan dan perbelanjaan pelancong bagi 2014. Jumlah pelancong domestik telah meningkat sebanyak 11.6%kepada 60.7 juta orang berbanding 54.4 juta orangpada 2013, manakala perbelanjaan pelancong domestik pula meningkat sebanyak 16.3% kepada RM41.1 bilion berbanding RM35.6 bilion pada 2013.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Syed Mohd Shahmi (Pegawai Pelancongan), Tourism Malaysia Johor di +607-2223590/3591 atau melalui emel di syedmohdshahmi@tourism.gov.my.

-TAMAT-

Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.

Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka dan seterusnya menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020.

Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.

Hubungi

Unit Media dan Publisiti
Shukri Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8767
Emel: shukrihanafiah@tourism.gov.my

Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel:
anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use