Jul 31, 2025

TOURISM MALAYSIA PERKENALKAN EDISI KEDUA PAKEJ “REFRESHING LANGKAWI 99 MAGICAL ISLAND

LANGKAWI, 24 Julai 2025 – Tourism Malaysia Wilayah Utara, menerusi Pusat Penerangan Pelancongan Langkawi, telah membangunkan edisi kedua pakej “Refreshing Langkawi 99 Magical Island: Vibes & Healing” sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu dalam memperkenalkan pengalaman pelancongan yang lebih santai dan menenangkan.

Seiring dengan permintaan terhadap konsep healing tourism yang kini semakin popular, program ini dianjurkan bersempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan Tahun Melawat Kedah 2025, dengan matlamat mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara.

Program telah berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2025 dengan melibatkan penyertaan lapan (8) pempengaruh media serta empat (4) wakil agensi pelancongan yang diberi peluang merasai sendiri pengalaman pakej pelancongan berasaskan elemen vibes & healing.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Encik Abdul Hadi Che Man, “Program ini merupakan antara usaha strategik untuk memastikan Langkawi kekal relevan dan kompetitif sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa. Selain keindahan semula jadi yang menjadi tarikan utama, Langkawi kini menawarkan pengalaman pelancongan berteraskan ketenangan, gaya hidup santai serta healing, sejajar dengan tema TMM2026 iaitu Surreal Experience.”

Pakej ini dibangunkan dengan harga bermula serendah RM500 untuk penginapan 3 hari 2 malam, merangkumi pelbagai lokasi dan aktiviti menarik seperti lawatan ke Dream Forest Langkawi, jelajah jet ski, buggy tour, kunjungan ke komuniti Pulau Tuba serta aktiviti berteraskan seni dan budaya di Balai Seni Negara cawangan Langkawi. Aktiviti menarik lain antaranya, menangkap beronok dan ketam, menikmati panorama matahari terbenam, serta menyaksikan pemandangan indah dari Maha Tower.

© 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All rights reserved.
Privacy Policy | Sitemap | Last updated: 01 August 2025