TOURISM MALAYSIA PERKENALKAN ‘BEST OF LABUAN HOLIDAY PACKAGES 2016’ UNTUK TINGKATKAN PELANCONGAN DI LABUAN
LABUAN, 10 Mei 2016 – Tourism Malaysia telah membangunkan 16 pakej percutian bagi mempromosikan Labuan sebagai sebuah destinasi pelancongan. Pakej ‘Best of Labuan Holiday Packages 2016’ ini telah dilancarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Domestik) Tourism Malaysia Puan Chong Yoke Har di Hotel Grand Dorsett di sini, hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan Encik Mohd Zamri B. Mohd Esa.
Pembangunan pakej ini adalah hasil kerjasama antara Tourism Malaysia Sabah dengan empat buah agensi pelancongan yang terdiri daripada LGM Tour & Travel Sdn. Bhd., Borneo Star Dive Sdn. Bhd., Destination Borneo Sdn. Bhd., dan Jiwaja Rent A Car Sdn. Bhd.
Setiap pakej menawarkan aktiviti-aktiviti berlainan bagi memudahkan para pelancong untuk memilih destinasi-destinasi pelancongan berdasarkan minat masing-masing. Antara aktiviti yang ditawarkan termasuklah menyelam di terumbu karang yang terdapat di Taman Laut, menyelam di tapak kapal karam semasa Perang Dunia Ke-2 dan tahun 1980-an, meneroka terowong lombong arang batu, dan membeli belah di pasar Labuan serta kedai-kedai bebas cukai, dan lain-lain lagi.
Pakej 3H2M ‘Par-Fect Experience At LIGC’ menawarkan pelanggan pengalaman bermain golf yang terbaik di Kelab Golf Antarabangsa Labuan yang dibuka pada 2013. Ia berharga RM748 seorang dengan minimum dua orang. Pakej ‘Island Hoping Fun Tastic’ pula menjanjikan pengalaman bersnokel yang tidak akan dapat dilupakan di Taman Laut yang terdiri daripada Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Kecil, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Papan. Harga pakej sehari ini bermula dari RM1,208 seorang dengan minimum 12 orang.
Selain itu, Tourism Malaysia juga telah menjalankan usaha untuk meningkatkan ketibaan pelancong antarabangsa ke Labuan melalui enam penerbangan sewa khas yang akan membawa pelancong dari China bermula pada 15 Julai tahun ini.
LAWATAN MEDIA KE LABUAN
Dalam usaha untuk mempromosikan Labuan sebagai tarikan pelancong yang utama, Tourism Malaysia telah membawa seramai 13 orang wakil media cetak dan penulis blog tempatan untuk lawatan kemas kini produk ke Labuan dari 9 hingga 11 Mei 2016.
Mereka juga turut menghadiri majlis pelancaran pakej percutian ‘Best of Labuan Holiday Packages’.
Ketibaan pelancong ke Labuan telah berkurangan seramai 26,794 orang atau 2.6% iaitu dari 1,042,221 orang pada 2014 kepada 1,015,427 orang pada 2015.
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2014, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 27.4 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM72 bilion sekaligus menjadikan pelancongan sebagi penyumbang kedua terbesar negara menerusi tukaran mata wang asing.
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka dan seterusnya menjadi pemacu ke arah mencapai sasaran ketibaan seramai 36 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM168 bilion pada 2020.
Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi
Unit Media dan Publisiti
Shukri Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi KorporatTel: +603-8891 8767
Emel: shukrihanafiah@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my