Jan 1, 2020

TOURISM MALAYSIA MENYAMBUT PELANCONG DI PINTU-PINTU MASUK UTAMA BERSEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2020

KUALA LUMPUR, 1 JANUARI 2020 – Tourism Malaysia membuka tirai tahun baru 2020 dengan mengadakan acara sambutan di pintu-pintu masuk utama dan lokasi terpilih untuk menyambut kedatangan para pelancong dari luar dan dalam negara bersempena dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) pada hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin bin Ketapi turut menyertai acara sambutan yang diadakan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan salah satu lokasi utama yang dipilih untuk menyambut pelancong. Majlis sambutan ini diadakan secara serentak di 22 pintu-pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh Malaysia seperti yang disenaraikan di dalam Lampiran.

“Selain menyambut kedatangan pelancong ke negara kita pada hari pertama bagi tahun 2020, kita adakan acara ini untuk menghangatkan lagi kemeriahan sambutan kempen TM2020,” jelas beliau ketika berucap kepada media di majlis tersebut.

Acara sambutan ini diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi korporat yang terlibat dalam industri pelancongan yang turut sama memeriahkan majlis di setiap lokasi pintu masuk dengan penglibatan dari segi bantuan persediaan majlis dan juga sumbangan penyediaan cederahati untuk pelancong.

Bagi meningkatkan kemeriahan majlis, kumpulan pertama pelancong domestik dan antarabangsa yang tiba di lokasi utama akan disambut dengan persembahan kebudayaan yang terdiri daripada tarian tradisional dan juga muzik tradisional tempatan seperti gamelan dan sape. Pelancong juga diberikan beg cenderahati berupa produk tempatan yang mempamerkan ciri-ciri Malaysia seperti dodol dan kalungan istimewa bermotifkan VM2020 sebagai tanda penghargaan dan kemesraan orang Malaysia.

Malaysia telah menetapkan sasaran 30 juta kedatangan pelancong luar serta hasil pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion sempena TMM2020. Berpandukan slogan “Visit Truly Asia Malaysia 2020”, kempen TM2020 menjanjikan sambutan hangat yang dipenuhi dengan pelbagai perayaan dan acara menarik sepanjang tahun. Senarai acara-acara utama ini boleh dilayari di laman web rasmi Visit Malaysia 2020 di http://vm2020.malaysia.travel/.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Unit Media

Muadz Samat (En.)
Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Emel : muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use