Aug 20, 2019

TOURISM MALAYSIA MENANDATANGANI DUA PERJANJIAN STRATEGIK DENGAN EXPEDIA UNTUK MEMACU USAHA PELANCONGAN MAPAN


PUTRAJAYA, 20 OGOS 2019: – Tourism Malaysia, bersama Kumpulan Expedia hari ini, mengumumkan dua perjanjian strategik komited untuk menyokong usaha mempromosikan pelancongan domestik dan antarabangsa ke Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

Selaras dengan strategi promosi pelancongan Tourism Malaysia, perjanjian pertama merupakan Memorandum Kerjasama untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang unggul dengan mempamerkan keajaiban, tarikan dan budaya unik negara; dan menyokong inovasi digital industri pelancongan.

Perjanjian kedua akan menyaksikan kedua-dua pihak memulakan kempen global untuk menarik pelancong dari Australia, Jepun dan Amerika Syarikat ke Malaysia. Kempen bersepadu ini akan mengetengahkan tarikan pelancong yang tersembunyi dan unik di Malaysia, serta mempromosikan pelbagai pilihan penginapan kepada lebih 750 juta pengunjung Expedia di seluruh dunia.

Perkongsian strategik yang tepat pada masanya ini dilihat akan membantu Malaysia mencapai sasaran 30 juta ketibaan pelancong dan perbelanjaan pelancong RM100 bilion, yang ditetapkan untuk kempen Visit Malaysia 2020.

Disaksikan oleh YB Datuk Mohamaddin Ketapi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tourism Malaysia yang diwakili Ketua Pengarah, Datuk Musa Yusof, dan En. Greg Schulze, Naib Presiden Kanan Bahagian Strategi dan Perkhidmatan Perdagangan Kumpulan Expedia, bersama dengan pegawai-pegawai kanan kedua-dua pihak telah saling bertukar dokumen sebagai tanda menghargai dan menyokong perkongsian strategik tersebut.

Memperkasakan Syarikat SME Industri Pelancongan Malaysia

Sebagai sebahagian daripada perjanjian kerjasama ini juga, Tourism Malaysia dan kumpulan Expedia akan melancarkan siri latihan di Malaysia untuk memupuk inovasi digital industri pelancongan. Bengkel untuk rakan kongsi hotel tempatan akan termasuk cara untuk memanfaatkan platform Rakan Kongsi Kumpulan Expedia untuk mempercepatkan pembangunan kemahiran dan membina pendapatan dan keupayaan pengurusan hotel di kalangan hotel SME tempatan.

Kumpulan Expedia juga akan memanfaatkan rangkaian dan teknologi Solusi Rakan Kongsinya untuk membantu syarikat-syarikat besar dan juga kecil dalam industri pelancongan di luar talian untuk meningkatkan keupayaan teknologi mereka dan menjadi ekonomi digital yang lebih bersedia.

“Industri pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi Malaysia yang penting, dengan menyumbang hampir 14.9 peratus kepada GDP dan menyediakan lebih 3.4 juta peluang pekerjaan. Sebagai satu platform pelancongan dunia, kumpulan Expedia berbangga untuk menjadi rakan kongsi pertama bersama Tourism Malaysia, menghubungkan Malaysia dengan lebih 750 juta pelancong di dalam rangkaian kumpulan kami,” kata En. Greg Schulze, Naib Presiden Kanan, Bahagian Strategi dan Perkhidmatan Perdagangan, Kumpulan Expedia.

Datuk Mohamaddin Ketapi juga mengatakan bahawa, “melalui perkongsian, serta usaha membina bersama pemasaran digital dan usaha tanggungjawab korporat bersama-sama dengan Expedia, kami berhasrat menjadi penyumbang yang positif dalam berkongsi manfaat pelancongan dengan komuniti di seluruh bandar di Malaysia.”

“Pengumuman ini menunjukkan komitmen Tourism Malaysia di dalam membina kerjasama dan hubungan yang lebih erat dengan Expedia. Kami berharap kumpulan Expedia akan terus membantu memainkan peranan di dalam membantu Malaysia mencapai objektif menjadi sebuah destinasi yang unik dan mempromosikan kepelbagaian budaya kepada pelancong dari seluruh dunia,” kata Datuk Musa Yusof, Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

TAMAT

Untuk mendapatkan siaran akhbar, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Tourism Malaysia menumpukan kepada tugas khusus iaitu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2018, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.8 juta orang pelancong asing dan pendapatan pelancong berjumlah sebanyak RM84.1 bilion sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan destinasi pelancongan utama dunia.

Hubungi:

Lavinia Rajaram
Ketua Komunikasi APAC, Expedia Group
(65) 8428 0079
lrajaram@expedia.com

Unit Media

Muadz Samat, Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8755
Emel: muadz@tourism.gov.my

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use