TOURISM MALAYSIA LANCARKAN “TOURISM MALAYSIA E-BROCHURE APP & BEAUTIFUL TERENGGANU DEKAT JE HOLIDAY PACKAGES 2017”
KUALA LUMPUR, 3 Sept 2016 – Menteri Besar Terengganu YAB Tuan Haji Ahmad Razif Abdul Rahman telah melancarkan aplikasi Tourism Malaysia E-Brochure App dan pakej pelancongan Beautiful Terengganu Dekat Je Holiday Packages 2017 pada Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Tourism Malaysia E-Brochure App yang merupakan sebuah aplikasi panduan pelancong telah dibangunkan oleh Tourism Malaysia bertujuan membantu dan memudahkan pelancong untuk mendapat akses penuh kepada risalah dan kolateral yang terdapat dalam talian.
Para pengguna aplikasi ini boleh merancang percutian mereka berpandukan kepada tujuh segmen yang terdapat di dalamnya iaitu pakej, peta, destinasi, panduan umum, panduan serantau, acara dan special interest.
Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Apple Store dan Google Play secara percuma.
Sementara itu, Tourism Malaysia dengan kerjasama 12 agensi pelancongan dan empat pengusaha produk dari Terengganu telah menerbitkan pakej pelancongan Beautiful Terengganu Dekat Je Holiday Packages 2017 sempena Tahun Melawat Terengganu 2017. Ia mengandungi 16 buah pakej percutian yang merangkumi ekopelancongan, lawatan sekitar bandar raya, pakej Islamik, pulau, edupelancongan, pakej berbulan madu dan pelancongan minat khas di pelbagai destinasi di Terengganu.
Setiap pakej menawarkan aktiviti-aktiviti yang berlainan bagi memenuhi permintaan dan minat para pelancong tempatan dan antarabangsa. Antaranya ialah pakej Aqua Islamic Vacation Package yang menawarkan pakej 3H/2M dengan harga RM329 seorang dan minimum empat orang serta termasuk penginapan, tiket masuk ke Muzium dan bangunan bersejarah, dan pakej eko kembara daripada ‘Cemerung Outdoor Adventure’ yang menawarkan pelbagai aktiviti seperti berkayak, ‘water-rafting’, mendaki gunung dan pelbagai aktiviti lasak lain.
MATTA FAIR 2016
Sebanyak 90 buah organisasi yang terdiri daripada 40 pengusaha pelancongan, 30 pengusaha hotel dan resort, dan 20 pengusaha produk pelancongan telah menyertai MATTA Fair 2016 di bawah payung Tourism Malaysia.
Pelbagai pakej pelancongan domestik yang menarik dan unik telah ditawarkan pada pameran tiga hari tersebut dengan harga yang berpatutan. Pakej-pakej percutian tersebut dikategorikan mengikut segmen-segmen pelancongan seperti bulan madu, ekokembara, taman tema, pulau, pantai dan sebagainya. Usaha ini juga adalah selari dengan kempen Cuti-Cuti 1Malaysia Dekat Je.
Tourism Malaysia telah menyasarkan jualan sebanyak 19,000 buah pakej, yang dijangka menyumbang nilai jualan sebanyak RM5 juta melalui penyertaan dalam MATTA Fair 2016 edisi September ini.
Pada tahun 2015, jumlah pelancong domestik telah meningkat sebanyak 3.3% kepada 62.7 juta orang berbanding 60.7 juta pelancong domestik pada tahun 2014, manakala jumlah perbelanjaan pelancong domestik pula ialah sebanyak RM44.2 bilion pada tahun 2015 berbanding RM41.4 bilion pada tahun 2014 dengan peningkatan sebanyak 6.9%.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Laili Syahrina (Penolong Pengarah), Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat di +603-88918608 atau melalui emel di
laily@tourism.gov.my .
-TAMAT-
Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2015, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25.7 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancong sebanyak RM69.1 bilion.
Melalui NKEA, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mempertingkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta untuk memantapkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancong antarabangsa yang terkemuka.
Sasaran yang telah ditetapkan di bawah NKEA Pelancongan akan tercapai melalui pelaksanaan 12 Projek Permulaan (EPPs) yang merangkumi lima tema: Kembara Mewah Mampu Milik; Kembara Alam Semula Jadi; Keseronokan Seisi Keluarga; Acara, Hiburan, Spa dan Sukan; dan Pelancongan Perniagaan.
Hubungi
Unit Media dan Publisiti
Shukri Hanafiah, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8767
Emel: shukrihanafiah@tourism.gov.my
Unit Editorial:
Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603-8891 8759
Emel: anisramli@tourism.gov.my