TOURISM MALAYSIA LANCARKAN PERTANDINGAN MALAYSIA PHOTO HUNT 2025, TAWAR HADIAH MENARIK!
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia hari ini melancarkan Malaysia Photo Hunt 2025, sebuah pertandingan foto dan video bertemakan pelancongan sebagai inisiatif mempergiat promosi destinasi Malaysia menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).
“Malaysia Photo Hunt 2025 merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi dalam mempergiatkan usaha promosi pelancongan negara secara kreatif. Ia adalah salah satu program promosi untuk menggalakkan para pelawat domestik dan antarabangsa mempromosi keindahan Malaysia melalui foto dan video di saluran media sosial mereka dengan slogan ‘Malaysia Welcomes the World”, kata YB Khairul Firdaus bin Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Pertandingan ini akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2025 dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, pemastautin asing, serta pelawat antarabangsa. Para peserta perlu merakam keindahan destinasi pelancongan di Malaysia dengan menggunakan kamera dan telefon pintar.
Pertandingan ini terbuka kepada semua jenama kamera dan telefon pintar. Untuk menyertai pertandingan ini, setiap peserta perlu menghantar foto atau video bersama salinan resit sebagai bukti melakukan aktiviti melancong seperti penginapan di premis berdaftar dan berlesen, pembelian tiket ke tarikan pelancongan atau tempahan tiket pengangkutan domestik yang bertarikh dari 1 Januari hingga 31 Ogos 2025.
Sebanyak lima jenama terkenal – Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei tampil sebagai rakan strategik pertandingan ini. Menyerlahkan lagi kempen ini, Perodua turut menyemarakkan pertandingan dengan penajaan 10 buah kereta bagi program Fam Trip untuk influencer yang akan diadakan pada 13 sehingga 15 Jun 2025.
Semua pengguna kamera dan telefon pintar bagi jenama Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei boleh menghantar penyertaan foto dan video mereka mengikut jenama yang mereka gunakan. Pengguna selain daripada jenama-jenama ini pula boleh menghantar penyertaan foto dan video mereka untuk kategori Tourism Malaysia.
Setiap kategori yang disertai menawarkan hadiah tempat pertama hingga ketiga serta 20 hadiah saguhati. Di samping itu, pertandingan ini menawarkan empat (4) hadiah utama bernilai RM100,000. Daripada jumlah ini, hadiah bernilai RM 15,000 ditawarkan untuk pengguna telefon bagi kategori foto dan RM 25,000 bagi kategori video. Manakala hadiah bernilai RM 25,000 ditawarkan untuk pengguna kamera bagi kategori foto dan RM 35,000 bagi kategori video.
Lebih membanggakan, jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan ini mencecah RM400,000, sekali gus menjadikannya antara pertandingan foto dan video terbesar di negara ini. Inisiatif ini turut mendapat sokongan padu daripada Kerajaan-Kerajaan Negeri seperti Langkawi Development Authority (LADA), Penang Global Tourism, Sarawak Tourism Board dan Sabah Tourism Board serta persatuanpersatuan industri pelancongan seperti MATTA, BUMITRA, MAH, MAHO, MyBHA dan MITA.
Maklumat lanjut serta borang penyertaan boleh didapati di laman rasmi Tourism
Malaysia melalui pautan www.mphunt.tourism.gov.my. Penyertaan hendaklah dihantar
secara dalam talian bermula 1 Jun sehingga 31 Ogos 2025. Sebagai galakan awal,
2,000 penyertaan terawal akan menerima hadiah misteri eksklusif daripada Tourism
Malaysia. Keputusan rasmi pertandingan dijangka diumumkan pada Oktober 2025,
dan akan disusuli dengan satu pameran khas untuk mempamerkan hasil karya foto
dan video terpilih sebagai sebahagian daripada kempen promosi menuju VM2026.
TAMAT
Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran kempen Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan IndonesiaMalaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, X, YouTube, dan TikTok.
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:
Noor Salina Ismail
Timbalan Pengarah Kanan
Bahagian Produksi
noorsalina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8227
Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775