Dec 19, 2013

TOURISM MALAYSIA LANCAR PERADUAN FOTO PELEKAT/STICKER TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2014

KUALA LUMPUR, 19 Disember 2013 – Tourism Malaysia telah melancarkan Peraduan Foto Pelekat/Sticker Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) bagi meningkatkan kebolehlihatan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 dalam kalangan rakyat tempatan dan ekspatriat.

Peraduan yang akan berlangsung selama tiga bulan bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2014 ini menyediakan pelbagai hadiah menarik termasuk pakej-pakej pelancongan domestik bagi 30 orang peserta yang berjaya setiap bulan.

“Penganjuran peraduan ini membolehkan rakyat Malaysia dan ekspatriat turut sama membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan secara automatik membuatkan mereka bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada para pelancong khususnya dari luar negara,” kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia YBhg Dato Mirza Mohammad Taiyab di majlis pelancaran Peraduan Foto Pelekat/Sticker TMM 2014 di tapak Tol PLUS Sungai Besi di sini, hari ini. Sebanyak 150,000 unit pelekat kenderaan telah diedarkan kepada para pengguna jalanraya di seluruh negara.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar Kanan PLUS, Ir. Mohd Zulastri Mohd Amin.

Pelekat kenderaan TMM 2014 ini menampilkan gambar monyet proboscis yang juga merupakan maskot rasmi Tahun Melawat Malaysia 2014. Ia telah diedarkan di 15 lokasi iaitu tujuh lokasi tol dan satu kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah seliaan PLUS seperti Tol Sungai Besi di Selangor, Tol Skudai di Johor, Tol Ayer Keroh di Melaka, Tol Jambatan Pulau Pinang, Tol Senawang di Seremban, Tol Batu Tiga di Shah Alam, Hutan Kampung di Kedah dan R&R Tapah di Perak.

Pelekat/sticker peraduan foto itu turut diedarkan di negeri-negeri yang tidak dihubungkan oleh lebuhraya PLUS seperti Tol Jabor di Terengganu, Tol Jambatan Tun Salahudin di Sarawak, Jeti Kuala Perlis, KB Mall di Kelantan, Lapangan Terbang Kota Kinabalu di Sabah, Kuantan Sentral dan Pusat Transformasi Bandar di Bentong, Pahang.

Selain lokasi-lokasi di lebuhraya, pelekat kenderaan ini juga boleh diperolehi di Pejabat-pejabat Tourism Malaysia Negeri dan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di seluruh negara.

Peraduan Foto Pelekat/Sticker TMM 2014 ini juga dijangka dapat menaikkan jumlah pengikut laman Facebook Cuti-Cuti 1Malaysia (FB CC1M) di http://www.facebook.com/CutiCuti1Malaysia bagi promosi berterusan pada masa akan datang. Setakat ini, laman web berkenaan mempunyai seramai 1.8 juta pengikut.

Penyertaan boleh dibuat melalui FB CC1M dengan mengambil gambar kenderaan yang memakai pelekat TMM 2014 dengan berlatarbelakangkan mana-mana tarikan pelancongan yang terdapat di Malaysia.

Peserta juga perlu menekan butang “Like” di laman FB CC1M dan seterusnya memuat naik gambar dalam aplikasi VMY 2014 Car Sticker Photo Contest. Gambar itu kemudiannya perlu dikongsi bersama 10 rakan yang lain.

Penyertaan yang tidak berjaya pada bulan pertama akan dibawa untuk cabutan pada bulan kedua dan seterusnya.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Puan Ida Harlina Mohd Idris, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pemasaran Domestik, Tourism Malaysia di talian 03-8891 8437 atau emel idaharlina@tourism.gov.my.

TAMAT


Untuk mendapatkan siaran media, media info dan artikel berkaitan industri pelancongan di Malaysia, sila lawati Pusat Media di laman web Tourism Malaysia di http://www.tourismmalaysia.gov.my/.

LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA ATAU TOURISM MALAYSIA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tourism Malaysia bertanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia di semua peringkat. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah membangun dengan pesatnya dan telah muncul sebagai pemain utama dalam dunia pelancongan antarabangsa. Pada 2012, Malaysia telah mencatatkan kedatangan seramai 25 juta orang pelancong asing dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM60.6 bilion sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan ke-10 paling popular di dunia

Pada 2014, Malaysia akan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) buat kali keempat dengan tema “Celebrating 1Malaysia Truly Asia”. Kempen promosi TMM 2014 telahpun bermula pada tahun ini dan akan dipenuhi dengan pelbagai acara istimewa dan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang tahun sehinggalah tibanya TMM 2014. Penganjuran kempen TMM 2014 dijangka akan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran untuk menerima kedatangan pelancong seramai 36 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM168 bilion menjelang 2020 seperti yang digariskan dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia 2020.            

Hubungi:
Unit Perhubungan Media:

Encik Razaidi Abd Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: razaidi@tourism.gov.my

Unit Editorial:

Puan Anis Rozalina Ramli, Senior Editor, Bahagian Komunikasi dan Publisiti
Emel: anisramli@tourism.gov.my

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use