Oct 31, 2024

TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ PELANCONGAN ‘HEALTH & WELLNESS’

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2024 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan 42 Pakej Pelancongan ‘Health & Wellness’, satu langkah signifikan dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi unggul dalam sektor pelancongan kesihatan dan kesejahteraan di peringkat antarabangsa.

Pakej-pakej ini dilancarkan dengan kerjasama 18 agensi pelancongan yang menawarkan pakej pelancongan kesihatan dan kesejahteraan yang merangkumi gabungan unik antara rawatan perubatan moden dan program kesejahteraan holistik, seperti rawatan spa dan terapi tradisional, yang mampu meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental.

Pakej-pakej yang ditawarkan bermula daripada RM710 yang merangkumi pelbagai pengalaman kesihatan dan kesejahteraan seperti lawatan ke destinasi menarik, terapi urutan tradisional Melayu, aktiviti pernafasan Tai Chi, forest bathing, serta rawatan spa holistik. Tempoh sah pakej-pakej ini adalah sehingga tahun 2026.

YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, berkata pelancaran Pakej Pelancongan ‘Health & Wellness’ ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuhkan peranannya sebagai destinasi utama pelancongan perubatan dan kesejahteraan global.

“Malaysia menawarkan gabungan unik rawatan perubatan bertaraf dunia dan pengalaman kesejahteraan holistik, memberikan peluang terbaik kepada pelancong untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental sambil menikmati keindahan alam semula jadi negara kita,” katanya.

Selaras dengan inisiatif Visit Malaysia 2026 (VMY2026), pakej-pakej pelancongan kesihatan dan kesejahteraan ini juga memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana RM147.1 bilion dalam pendapatan pelancongan.

Setiap pakej juga direka khas untuk memenuhi keperluan individu yang mencari keseimbangan antara penjagaan kesihatan fizikal dan mental, dengan pelbagai pilihan rawatan eksklusif seperti Sound Bath, rawatan refleksologi, dan sesi meditatif Singing Bowls.

Terdapat 365 spa berdaftar di Malaysia yang menyediakan pelbagai rawatan termasuk urutan Malaysia, urutan batu panas, rawatan lulur tradisional, aromaterapi, rawatan ibu bersalin, terapi hidro (hydrotherapy), mandian herba serta terapi Ayurveda. Pelancong juga boleh memilih rawatan unik seperti rawatan kecantikan wajah dan urutan kaki.

Menurut Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Malaysia telah merekodkan ketibaan seramai 584,468 orang pelancong kesihatan dalam tempoh separuh pertama 2024. Sektor ini dijangka menjana pendapatan sebanyak RM2.4 bilion sepanjang tahun 2024, dengan jumlah pendapatan setakat ini melebihi RM954.9 juta. Pada tahun 2023, Malaysia mencatatkan RM2.25 bilion daripada lebih daripada 1 juta pelancong kesihatan, menunjukkan peningkatan 15% berbanding tahun 2022.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026), pakej ini menyokong usaha menarik 35.6 juta pelancong dan menjana RM147.1 bilion pendapatan pelancongan, dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan perubatan dan kesejahteraan. Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang disediakan ataupun menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, dan TikTok..

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Rubiah Tul’Adwiyah Hj. Md. Yusof
Timbalan Pengarah
Bahagian Pembangunan Pakej
intanrubi@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8537

Fazly Mohamad
Pegawai Pelancongan Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
fazly@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8778

Copyright © 2025 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use