Dec 5, 2022

TOURISM MALAYSIA LANCAR PAKEJ “NORTHERN MALAYSIA COFFEE EXPERIENCE”


GEORGETOWN, 2 Disember 2022 - Tourism Malaysia hari ini melancarkan promosi diskaun 10% bagi Pakej “Northern Malaysia Coffee Experience” dalam usaha mempromosikan industri kopi melalui kedai kopi, kafe dan rawatan spa berasaskan kopi di negeri-negeri di Wilayah Utara.

Kempen berlangsung selama 6 bulan bermula 2 Disember 2022 merupakan kerjasama antara Tourism Malaysia dengan pengendali pelancongan, pengusaha spa, kedai kopi dan kafe yang berpangkalan di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Menggabungkan segmen gastronomi dan spa, sebanyak 15 pakej telah dibangunkan sebagai permulaan. Pakej-pakej ini dilihat mempunyai potensi besar untuk dipromosikan selaras dengan Dasar Pelancongan Negara yang memfokuskan kepada peningkatan pengalaman pelancong, ekoran trend masa kini golongan ‘Millennials’ yang menjadikan aktiviti bersantai di kedai kopi atau kafe sebagai salah satu gaya hidup.

Tawaran bermula daripada RM95 seorang untuk pakej sehari sehingga RM450 bagi pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M). Pelancong domestik dan antarabangsa yang membeli pakej ini akan mendapat potongan diskaun sebanyak 10% serta urutan spa berasaskan kopi di pusat spa terpilih.

Pakej-pakej ini antara lain menawarkan lawatan seperti ke Kilang Kopi Antong di Taiping, Perak; melawat tapak semaian benih kopi di KEDA Agrobiz di Sik, Kedah; merasai pengalaman kopi dalam suasana kampung di Rumah Kupi, Kangar, Perlis serta bersantai di kubu bersejarah Fort Cornwallis di Pulau Pinang sambil menikmati kopi dan pastri di Ngopi.

Tourism Malaysia juga telah menerbitkan e-direktori dengan menyenaraikan kedai kopi dan kafe yang mengambil bahagian di dalam program ini. Seramai 50 pemenang terpilih berpeluang menerima hadiah istimewa daripada Tourism Malaysia menerusi aktiviti memuat naik gambar swafoto terbaik di kedai-kedai kopi terlibat dengan hashtag #MYKopiExperience sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Majlis pelancaran kempen tersebut telah berlangsung di Think City Pulau Pinang dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainuddin Abdul Wahab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia serta dihadiri oleh Encik Shahrin Mokhtar, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej, Tourism Malaysia.

Dato’ Hj. Zainuddin berkata, sekurang-kurangnya 300 pakej disasarkan terjual sepanjang tempoh promosi berlangsung dengan jangkaan pulangan sebanyak RM100,000.

“Kita berharap promosi kempen Pakej “Northern Malaysia Coffee Experience” ini dapat diperluaskan dengan penglibatan lebih banyak pengendali pelancongan bukan sahaja di negeri-negeri di Wilayah Utara tetapi juga di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, Tourism Malaysia sentiasa bersedia untuk membantu mempromosikan pakej-pakej seumpama ini yang memberikan manfaat secara langsung kepada para pelancong serta pemain industri pelancongan yang terlibat.

Pakej-pakej yang dilancarkan juga akan dipromosikan sepanjang penganjuran Pesta Kopi Pulau Pinang 2022 dari 10 hingga 11 Disember 2022 di Hin Bus Depot, Georgetown dengan bertemakan “Kopi & Irama” sekali gus berupaya menarik lebih ramai pelancong yang meminati kopi ke negara ini.

Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di https://www.malaysia.travel/.

TAMAT

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi:

Norliza Md. Zain

Timbalan Pengarah

Bahagian Pembangunan Pakej

norliza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8519

Muadz Samat

Penolong Pengarah

Bahagian Komunikasi Korporat

muadz@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8755

Related Photos

Copyright © 2024 Malaysia Tourism Promotion Board (MTPB). All Rights Reserved. View Our Terms of Use